Selasa, 6 Oktober 2020

Lelaki OKU pakai gelang 'pink' ditahan di pasar raya

 
Polis menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki OKU tersebut di luar sebuah pasaraya selepas menerima aduan daripada orang awam di Banda Hilir di sini, malam tadi.

MELAKA - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang memakai gelang merah jambu ditahan ketika sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di bandar Melaka di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 43 tahun itu dilihat memakai gelang berkenaan di bawah jam tangan sebelum orang ramai menyedari tindakan lelaki itu terus memaklumkan kepada pihak pengurusan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, polis dengan segera menahan individu terbabit kerana melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, berdasarkan aduan diterima, lelaki OKU pendengaran itu datang ke premis berkenaan bersama isterinya berusia 34 tahun untuk membeli barang.

"Isterinya memberitahu suaminya pemegang kad OKU pendengaran. Hasil pemeriksaan kita mendapati lelaki itu masih memakai gelang tangan berwarna merah jambu yang mana tempoh kuarantin bermula 30 September lalu hingga 15 Oktober ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Afzanizar berkata, individu tersebut gagal mengemukakan surat pelepasan perintah kuarantin KKM selain turut mengakui masih belum membuat saringan Covid-19 kali ke dua.

"Kita menahannya bagaimanapun dia telah dibebaskan dengan jaminan polis sehingga tamat tempoh kuarantin di rumah dan siasatan akan dilengkapkan oleh pihak polis sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR)," kata beliau lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 kanun keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 3) 2020.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai individu yang memakai gelang merah dilihat masuk dalam sebuah pasar raya sebelum disedari pelanggan yang melihat gelang tersebut yang didakwa disorokkan di bawah tali jam ketika lelaki itu mendukung seorang kanak-kanak.

Tiada ulasan: