Rabu, 21 Oktober 2020

Laporan polis terhadap surat tular kepada Agong

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
FAISAL Kamal Ariffin (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat berkaitan penyebaran surat sokongan Presiden Umno kepada Dato Seri Anwar Ibrahim yang di alamatkan kepada Yang Di Pertuan Agong di hadapan balai polis IPD Kuala Selangor pada hari ini. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
KUALA SELANGOR : Dua pertubuhan seni bela diri hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan surat yang tular dikatakan ditulis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dua pertubuhan tersebut ialah Yang Dipertua Gerak Mahalela Malaysia diwakili Faisalkamal Ariffin dan Pertubuhan Seni Silat Jurus Rentak Makrifat diwakili Pengerusinya, Mohd. Rusdy Rusli.

Menurut Faisalkamal, laporan polis dibuat pihaknya berikutan selaku pertubuhan yang menjaga dan mempertahankan kedaulatan raja.

“Kedua-dua pertubuhan ini membuat laporan polis bagi menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kesahihan dan kebenaran surat tersebut sama ada benar atau sekadar rekaan semata-mata.

“Sekiranya direka, ini bermakna terdapat pihak yang menggunakan kuasa raja untuk kepentingan politik mereka.

“Sebagai barisan yang menjaga kedaulatan raja, kita amat tidak bersetuju dengan pihak-pihak tersebut yang menggunakan atau menjual nama institusi raja sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Faisalkamal berkata, ahli-ahli politik seharusnya tidak menggunakan institusi raja demi kepentingan peribadi mereka.

“Sepatutnya institusi raja tidak patut dibawa ke kancah politik hanya semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

“Tidak seharusnya Yang di-Pertuan Agong diheret ke arena politik. Ahli politik seharusnya mengambil kira kuasa mutlak raja yang berkuasa dalam melantik sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri,” ujarnya. -UTUSAN

Tiada ulasan: