Oleh Asliza Binti Musa
IPOH: Hobi pelik warga emas yang juga pesara guru menghuni rumah dipenuhi timbunan sampah di Taman Bersatu di Simpang Pulai di sini menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan jiran.
Chung Sook Khuan, 63, berkata, barang yang dikutip dan dikumpul seperti kotak dan botol plastik minuman itu akan dijual di kedai kitar semula.
“Saya juga tolong bersihkan alam sekitar. Lagipun barang-barang yang saya kutip ini boleh dikitar semula dan ada nilai ekonomi.
“Saya tidak fikir langsung tentang duit, jika jual pun hanya dapat RM2 ke RM3 sahaja. Kadang-kadang seharian tiada untung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut wanita itu, dia menyedari jiran tidak senang dengan tindakannya dan bersarat pindah ke rumah lebih luas untuk menempatkan semua barang terbuang yang dikumpul.
“Saya tahu mereka marah dan keluarkan kata-kata kesat kepada saya. Mereka tidak percaya saya mahu jual semula barang-barang ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Agnes Kam, 65, berkata, dia pernah menegur perbuatan wanita itu tetapi dimarahi semula.
Katanya, keadaan yang kotor menyebabkan dia terpaksa menutup semua tingkap dan pintu bagi mengelakkan menghidu bau busuk.
Mohd. Hanifah Pareeth, 67, pula berkata, pihaknya pernah membuat laporan polis dan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas tidak tahan dengan perbuatan pelik wanita itu.
“Tiga tong besar pernah digunakan untuk membuang sampah tersebut namun keadaan bersih itu tidak bertahan lama kerana wanita itu akan kembali mengutip sampah,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan