Ahad, 25 Oktober 2020

Gelandangan transit merempat di tepi jalan

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
SEORANG gelandangan di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU: Tidak sangka di tengah kepasatan bandar raya ini masih terdapat golongan gelandangan yang merempat di lorong sempit jalan raya dan bangunan.

Walaupun mereka dilihat selekeh dan kotor namun tidak menyangka adalah gelandangan transit iaitu antara warga asing yang bekerja Singapura dan terkandas di negara ini.

Sehubungan itu, Persatuan Kebajikan Masyarakat Insane Kasih mengambil inisiatif mengadakan program bantuan makanan dan keperluan prosedur operasi standard (SOP) kepada golongan berkenaan di sekitar Johor Bahru semalam.

Pegawai Perhubungan Pesatuan Kebajikan Masyarakat Insane Kasih, Nor Aini Remeng berkata, pihaknya mengesan kira-kira 100 gelandangan dan sebahagian mereka adalah pekerja asing di Singapura yang terkandas di Johor.

“Sebelum ini mereka berulang-alik menerusi Tambak Johor. Ekoran ia ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka gagal masuk dan tidak berkerja serta memberi kesan kepada pendapatan.

“Keadaan ini menyebabkan mereka tidak lagi dapat menanggung kos sara hidup dan akhirnya tinggal di tepi jalan. Kita faham mereka tidak diminta jadi gelandangan, akhirnya mereka terpaksa berbuat demikian,” katanya ditemui selepas Program Bantuan Gelandangan Persatuan Kebajikan Masyarakat Insane Kasih di sini semalam.

Sementara itu, Nor Aini memaklumkan, dalam program itu, pihaknya mengagihkan bantuan berupa makanan dan keperluan SOP seperti pelitup muka serta sabun mandi kepada 100 gelandangan terlibat.

Katanya, seramai 50 sukarelawan terlibat menjayakan program tersebut yang berlangsung sejak pukul 12 tengah malam sehingga 2 pagi.

“Usaha ini melibatkan pelbagai kerjasama agensi kerjasama dan Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: