KUALA LUMPUR – Masalah gangguan bekalan air yang berlaku di Lembah Klang sejak semalam ternyata mencuri simpati Ebit Lew yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawannya.
Pendakwah itu secara persendirian sanggup membeli dua lori besar yang dipenuhi dengan air untuk diagihkan ke beberapa kawasan di Selangor termasuklah Pinggiran Batu Caves.
Menerusi Facebook beliau berkata, proses agihan bantuan air dilakukannya bermula 10 malam tadi sehingga awal pagi tadi.
“Sayu hati rasa. Selangor tiada air. Saya beli dua lori besar air untuk diagihkan. Dari 10 malam kami keluar rumah uruskan sampai Subuh dan sekarang masih belum selesai mengagihkan air di kawasan Pinggiran Batu Caves.
“Bila saya tengok rumah saya tiada air. Saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang diluar sana. Ya Allah. Sekali tengok orang beratur. Paling sayu pak cik mak cik tua-tua nak air. Ada yang saya minta pembantu saya bantu angkatkan,” tulisnya.
Semalam, LRA SSP 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi.
Henti tugas LRA itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Apa yang menyentuh hati Ebit adalah apabila melihat kanak-kanak masih kecil sanggup datang untuk menadah air daripada lori yang disediakannya.
“Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya. Ya Allah. Bantulah semua negeri-negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua.
“Pohon doa yer. Ramai sangat yang minta tolong. Ada pusat dialisis dan klinik pun memerlukan. InsyaAllah doakan semuanya dimudahkan,” tambahnya.
Semalam Air Selangor memaklumkan proses pembersihan dan rawatan air telah bermula semula untuk dibekalkan kepada pengguna.
Terdapat beberapa kawasan yang sudah mula menerima bekalan air semula namun ada juga sebaliknya.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan