Rabu, 7 Oktober 2020

Dua pegawai kanan JSJ Bukit Aman ditahan SPRM

Kumara Sabapatty
MGF07102020_MAJLIS-PERASMIAN-PELANCARAN-APLIKASI-SEMAK-MULE_04-1-681x454
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyempurnakan 
gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah 
Komersil dan Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak Mule di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMDI,

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan dua pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap dari SPRM berhubung penahanan dua pegawai kanan itu.

“Kita masih menunggu sama ada dua pegawai itu ditahan atas kes cuci duit yang sedang disiasat oleh SPRM sekarang ataupun kes lain .

“Sehingga menunggu dan menerima laporan dari SPRM, saya tidak boleh ulas kerana siasatan dijalankan SPRM ketika ini,” katanya di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial serta Portal dan Aplikasi Semak Mule pagi ini.

Menurut Acryl Saini. SPRM akan memaklumkan kepada Bukit Aman mengenai perkembangan kes tersebut secepat mungkin untuk membantu polis menyiasat bagi pihaknya.

Pihak polis juga, katanya, telah memulakan siasatan dalaman berhubung dakwaan pihak tertentu mengenai pembabitan pegawai polis dalam sindiket `cuci duit’ yang dikaitkan dengan perniagaan artis popular tempatan yang sebelum ini turut disiasat SPRM.

Menurut beliau, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman  bertanggungjawab dan sedang menyiasat perkara ini.

“Kita tunggu sahaja hasil laporan JIPS nanti sebelum memikirkan tindakan lanjut PDRM dalam kes ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: