Ahad, 25 Oktober 2020

Darurat Covid-19 untuk elak PRU mengejut


KUALA
LUMPUR: Sekiranya proklamasi atau pengisytiharan darurat bagi membendung wabak pandemik Covid-19 dikuatkuasakan, ia mampu menjadi mekanisme bagi mengelakkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara mengejut.

Menurut Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa ‘jika Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka YDPA boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Berdasarkan undang-undang yang diperuntukkan itu, kata Muhammad Fathi, soal ekonomi disebut secara jelas sebagai salah satu sebab yang membolehkan darurat diisytiharkan selain bagi menangani masalah keselamatan dan ketenteraman awam.

Ia menjadikan pengisytiharan darurat bagi mengatasi wabak Covid-19 bukan satu masalah dari sudut Perlembagaan, katanya dalam satu tulisan pada Sabtu minggu lalu.

Jelasnya tanggapan bahawa pengisytiharan darurat akan menyebabkan negara diperintah pihak tentera dan seluruh negara tertakluk kepada perintah berkurung adalah salah.

“Ia jauh daripada hakikat sebenar dan dari sudut pemerintahan, Pengisytiharan Darurat Covid-19 tidak akan mengubah bentuk pemerintahan sedia ada.

“Malah, kerajaan tetap berfungsi seperti biasa kerana perubahan fungsi kerajaan di peringkat kementerian dan negeri-negeri tidak diperlukan bagi menangani Covid-19.

“Apa yang berlaku ialah pemberian kuasa secara jelas dan teratur kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangani Covid-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan, peranan aktif MKN telah digerakkan untuk menangani wabak ini, tetapi dari sudut kuasanya agak kurang jelas dan janggal dan masalah ini dapat diatasi dengan proklamasi darurat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Fathi, ramai yang tidak menyedari bahawa darurat yang diisytiharkan pada 1969 dan tamat pada 2012, beberapa ordinan dikekalkan dan digunakan oleh kerajaan dalam pendakwaan dan pentadbiran.

“Hakikat itu telah membuktikan bahawa kedudukan negara dalam keadaan darurat bukanlah satu masalah sehingga boleh menghakis amalan demokrasi dan perlindungan hak asasi rakyat,” katanya.

Justeru itu, kata Muhammad Fathi, Proklamasi atau Pengisytiharan Darurat Covid-19 tidak perlu menjadi satu polemik atau ketakutan kepada rakyat Malaysia.

“Kita mengharapkan dengan diisytiharkan Darurat Covid-19, penguatkuasaan peraturan dan arahan berkaitan usaha menangani wabak Covid-19 termasuklah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah-langkah lain dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Selain itu, ia juga mampu menyediakan mekanisme yang dapat mengelakkan rakyat terjebak dalam pilihan raya umum dalam tempoh wabak ini. Mudah-mudahan negara kita dan dunia segera dikeluarkan daripada dugaan dan cabaran wabak yang luar biasa ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: