KUALA LUMPUR: Ahli politik kerajaan dan pembangkang mesti bersatu bagi membentuk kerajaan perpaduan yang bersifat inklusif dan kekal untuk beberapa tahun akan datang.
Strategic Institute for Asia Pasific (KSI), berkata krisis sosio ekonomi dan pergelutan politik berkaitan wabak yang sedang melanda di Malaysia tidak pernah terjadi sebelum ini.
Justeru, pembentukan kerajaan perpaduan itu perlu demi kesejahteraan rakyat, menyelamatkan nyawa dan memperkukuh ekonomi.
"Pemerintahan kerajaan itu perlu merangka program nasional yang menyeluruh dan memberi manfaat kepada rakyat serta mengutamakan pemulihan ekonomi.
"Jika ahli politik blok kerajaan atau pembangkang terus berpecah dan terbabit dalam pergelutan kuasa tanpa penghujung, kita dapat menjangka pertumbuhan negara akan turut terjunam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
KSI memaklumkan, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menubuhkan Majlis Perundingan Kewangan dan Belanjawan bagi mencapai kata sepakat dalam Belanjawan 2021.
"Pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November ini perlu ditangguhkan selama satu bulan atau lebih supaya persiapan dapat dibuat," katanya.
Selain itu, KSI berkata, pemimpin kerajaan dan pembangkang juga perlu bekerjasama merangka Pelan Tindakan Nasional, iaitu pemerintahan kerajaan perpaduan harus tertumpu kepada keterangkuman, pemerintahan yang baik dan berkesan, menggerakkan pakar dan bakat terbaik di negara ini bagi menyelamatkan nyawa dan ekonomi serta menjaga keamanan negara semasa tempoh krisis.
"Mengisytiharkan darurat atau mengadakan pilihan raya umum seperti yang diperdebat beberapa pihak tertentu pada masa yang genting ini tidak waras, tidak tepat dan tidak disarankan. Hal sedemikian akan membahayakan masa depan negara.
"Kerajaan perpaduan satu peluang yang baik untuk menyatu-padukan pemimpin kerajaan dan pembangkang supaya berganding bahu untuk mengatasi krisis semasa.
"Ia juga memainkan peranan penting sebagai batu loncatan buat arena politik negara ke arah perdamaian, keselamatan dan transformasi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan