Ahad, 15 Mac 2020

Saya telah jelaskan semua salah faham, Maszlee jawab Mahathir mengenai tulisan Jawi

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata, pengenalan 
tulisan Jawi sudah bermula pada tahun 2014 melalui semakan 
semula Kurikulum Sekolah Rendah yang turut melibatkan pakar 
bahasa.
 
PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengenai tulisan Jawi dengan berkata, ia bukan pilihannya sendiri.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah menjelaskan segala salah faham dan fakta yang tidak tepat mengenai perkara itu kepada bekas perdana menteri itu, jemaah Kabinet dan pemegang taruh.

Jelasnya, perancangan pengenalan tulisan Jawi sudah bermula pada tahun 2014 melalui semakan semula Kurikulum Sekolah Rendah (KSSR) yang turut melibatkan pakar bahasa.

Tambahnya, ketika itu semakan semula KSSR telah diluluskan dalam Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan pada 5 Februari 2015.

Bagaimanapun katanya, sebelum semakan semula KSSR, Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan tulisan Jawi kepada pelajar Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dalam buku teks Bahasa Melayu cetakan 2015.

“Justeru adalah salah untuk mengatakan Pakatan Harapan (PH) atau saya yang menyuruh orang Cina belajar tulisan khat. Salah untuk mengatakan ‘kita tak minta MCA terima pun’.”

“MCA terima. Tak ada bantahan. Dong Zong pun tidak nyatakan bantahan, malah Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) pun tidak wujud lagi pada waktu itu,” katanya.

Terdahulu, melalui satu wawancara di Sinar Harian, Mahathir berkata pengenalan tulisan Jawi tidak patut diteruskan.

Beliau dilaporkan berkata, semasa pentadbiran pertamanya, Umno tidak pernah cuba “memaksa” MCA untuk menerima Jawi di sekolah vernakular.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Simpang Renggam itu menegaskan, beliau sudah membentangkan perkara itu kepada anggota Kabinet kerajaan PH bahawa tulisan Jawi yang diperkenalkan itu tidak ada kaitan dengan agama dan hanya melibatkan 3 muka surat.

“Saya tidak pilih untuk berhadapan dengan isu ini, namun sebagai menteri pendidikan ketika itu saya perlu menggalas tanggungjawab dengan menangani isu ini dan menghormati keputusan yang telah disepakati oleh KPM sekian lama.

“Tumpuan saya ialah ‘reform’ pendidikan yang memang sudah berjalan, malah ketika meletak jawatan sebagai menteri sekalipun, Jawatankuasa Kajian Dasar hampir memuktamadkan syor untuk mengubah sistem pendidikan negara kita secara total,” katanya.

Pada 2019, kerajaan PH merancang memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil.

Tiada ulasan: