Ahad, 15 Mac 2020

Peguam Najib, Shafee Abdullah disah negatif Covid-19

Perbicaraan kes Najib Razak ditangguhkan selepas peguam 
Muhammad Shafee Abdullah beliau menjalani kuarantin berikutan 
Covid-19.
 
PETALING JAYA: Ketua pasukan peguam mewakili bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah disahkan negatif Covid-19.

Difahamkan beliau menjalani ujian saringan Covid-19 pada 12 Mac.

“Ya, negatif,” kata sumber kepada FMT ketika ditanya mengenai keputusan ujian tersebut.

Maklumat mengenai ujian itu diketahui 2 hari selepas perbicaraan kes 1MDB melibatkan najib ditangguhkan kerana ketidakhadiran Shafee.

Pejabatnya memberitahu beliau ada berhubung dengan seorang pesakit yang disyaki dijangkiti virus tersebut.

Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 19 Mac depan bagi menyambung semula perbicaraan Najib. Enam lagi peguam dalam pasukan pembelaan Najib turut menjalani ujian Covid-19.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa pasukan pendakwaan juga akan menjalani ujian sama, sementara pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Shafee menjalani ujian selepas berhubungan dengan saudaranya yang mempunyai hubungan rapat dengan seorang individu positif Covid-19.

Mahkamah diberitahu Shafee dan pasukan peguamnya menghadiri satu kenduri hujung minggu lepas dengan kakak ipar beliau, yang mempunyai hubungan rapat dengan rakan sekerjanya yang disahkan positif Covid-19.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa membabitkan dana sebanyak RM2.28 yang dikatakan milik 1MDB dan dimasukkan ke dalam akaun Ambank miliknya antara Februari 2011 dengan Disember 2014.

Tiada ulasan: