Ahad, 22 Mac 2020

Perlekeh PM berucap dalam BM, PEMBELA bidas netizen Cina

Fazleen safina

 

 'Inilah kesan negatif bila UEC diiktiraf, sekolah vernakular dikekalkan’


BANGI – Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari membidas segelintir netizen kaum Cina negara ini, yang mempertikaikan ucapan siaran langsung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bahasa Melayu.

Menyifatkan ‘mereka’ sebagai tidak beradab, Cikgu Izzat menggesa kerajaan Malaysia untuk mewajibkan segala arahan, berita dan makluman dalam bahasa Melayu yang juga bahasa Kebangsaan.

“…kecuali penerima info duduk di China. Orang India pun lagi fasih berbahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang pengguna laman sosial, Qilhong Gan yang tidak berpuas hati dengan tindakan netizen Cina lain yang memperlekehkan bahasa digunakan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan secara langsung.

Dalam tulisannya, Gan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan baharu di atas respon yang pantas menangani wabak COVID-19.

“Walaubagaimanpun, saya berasa malu apabila melihat komen secara langsung oleh segelintir kaum Cina yang kebanyakannya berbunyi : “Tak faham BM, Can you speak English?, Mengapa tiada sari kata bahasa Cina?

“Hello, ini berita siaran langsung okay. Dan mengapa siaran berita rasmi perlu sertakan sarikata bahasa Cina dan sebagainya?

“Hello rakyat Malaysia berbangsa Cina, berhentilah jadi pembenci yang bodoh. Kamu mahu masa hadapan hebat untuk anak-anak kamu, tetapi kamu buatkan diri kamu nampak bodoh tidak kira sama ada dari luaran mahupun dalaman.

Selain itu, Gan turut menggesa kaum Cina negara ini untuk mempelajari dan menghormati bahasa kebangsaan.

“Tolonglah, ini sudah tahun 2020, dan saya percaya kebanyakan dari kamu dapat belajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sekurang-kurangnya 9 tahun. Kamu mahu masa hadapan cerah?

“Aku anak Malaysia, walaupun BM aku tidak fasih, tetapi masih boleh faham BM,” perlinya.

Mengulas mengenai perkara itu, Cikgu Izzat berkata, tindakan segelintir netizen jelas membuktikan kesan negatif kewujudan sekolah vernakular dan juga Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di negara ini.

“Inilah yang digelar sebagai tiada jati diri,” katanya.

Justeru, Cikgu Izzat turut menggesa kerajaan supaya memansuhkan sekolah vernakular sambil mencadangkan supaya subjek elektif bahasa Mandarin dan bahasa Tamil diwujudkan dalam sekolah kebangsaan.

“Kepada Dong Zong juga, sila bubarkan pertubuhan anda kerana anda sudah tidak relevan.

“Pengerusi Dong Zong pun tak mampu berbahasa kebangsaan. Tak percaya? Tolong Google, jangan jadi pemalas,” tegasnya.


Tiada ulasan: