Jumaat, 20 Mac 2020

Perkhidmatan tren dihadkan mulai esok

Wartawan MalaysiaGazette
MGF10102019_HUMAN-INTEREST-ETS2_05
Penumpang kelihatan membaca buku semasa menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen KTM Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung sementara beberapa perkhidmatan trennya, berkuatkuasa esok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, penggantungan itu melibatkan operasi tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link.

Katanya, perkhidmatan ETS akan beroperasi sebanyak lapan perkhidmatan sehari berbanding 40 ketika ini, KTM Antarabandar (10 perkhidmatan berbanding 18 sehari) dan KTM Komuter akan beroperasi sebanyak 164 perkhidmatan, berbanding 208 sehari.

“Operasi komuter pada hari minggu pula akan dikurangkan kepada 138 perkhidmatan berbanding 167 sehari.

“Untuk tren Shuttle Tebrau, yang beroperasi di antara Stesen Johor Bahru Sentral, Johor Bahru dan Stesen Woodlands, Singapura pula, dikurangkan kepada lapan perkhidmatan sehari, berbanding 31 sebelum ini,” katanya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Turut dikurangkan perkhidmatan tren Skypark Link di antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kepada lapan larian sehari, berbanding 32 perkhidmatan ketika ini.

Kamarulzaman menambah, pengurangan itu dilakukan bagi mengoptimumkan operasi tren sejajar dengan arahan semasa kerajaan sepanjang tempoh perintah kawalan bagi mengurangkan pergerakan rentas negeri.

“Ia turut mengambilkira faktor pengurangan jumlah penumpang yang mendadak ekoran bertambahnya kes-kes penyebaran wabak CoVid-19,” katanya, sambil menambah, operasi semua tren itu akan dikaji dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan dan arahan terkini kerajaan.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, para penumpang juga boleh membuat pindaan tarikh perjalanan atau pembatalan tiket di kaunter atau menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my.

Orang ramai digesa mendapatkan maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang tersebut atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 0322671200. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: