Agong telah melaksanakan semua proses dengan teliti
BANGI
– Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai
perdana menteri kelapan bukan satu keputusan yang dibuat secara
terburu-buru.
Sebaliknya,
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Anuar Shah Bali
Mahomed menegaskan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira
pandangan semua pihak.
Katanya,
Agong telah pun memanggil kesemua Ahli Parlimen menghadap baginda dan
setiap dari mereka diperuntukkan antara dua hingga tiga minit untuk
menyatakan pandangan masing-masing, sepanjang proses temu bual
berlangsung.
Baginda juga
berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara
menunggu pelantikan perdana menteri baharu, selaras Perkara 43 (2)
Perlembagaan Persekutuan.
“Kronologi
itu sendiri menunjukkan bahawa proses memilih perdana menteri ini bukan
dilakukan secara terburu-buru. Agong mengambil kira semua suara.
“Proses itu
melibatkan masa seminggu, saya kira banyak juga masa yang tuanku
luangkan untuk perkara ini, termasuk memanggil Majlis Raja-raja. Semua
proses telah dilaksanakan oleh Agong.
“Pada hemat
saya, semua pihak perlu menerima keputusan ini selepas semua proses
dilaksanakan,” katanya dalam program Pertiwi Eksklusif PM ke-8, yang
disiarkan di TV Pertiwi, hari ini.
Dalam satu
kenyataan media, semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad
Fadil Shamsuddin berkata, baginda berpandangan Muhyiddin mendapat
kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Keputusan
itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat
bebas mengemukakan nama calon perdana menteri kepada Agong.
“Sehubungan
dengan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Tan Sri
Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Proses
seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan
Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020 (Ahad)
jam 10.30 pagi di Istana Negara,” memetik kenyataan itu.
Sebentar tadi, Muhyiddin
yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah pun
selesai mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, di Istana
Negara yang sekali gus menamatkan kemelut politik melanda negara sejak
22 Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan