Rabu, 4 Mac 2020

PAS berminat sertai Kabinet Muhyiddin





PETALING JAYA: PAS berminat sertai Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut beberapa pemimpin yang dihubungi, memberi gambaran mereka sedia menggalas tanggungjawab sebagai parti pemerintah persekutuan, bersama PPBM dan Barisan Nasional.

Ketua Dewan Ulama, Mahfodz Mohamed memaklumkan majlis syura ulama parti Islam terbesar tanahair itu ada bermesyuarat membincangkan sama ada mahu berada dalam Kabinet atau luar.

“Keputusannya PAS bersama-sama dalam Kabinet supaya PAS dapat sama-sama bertanggungjawab dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.

PAS bersama PPBM, Barisan Nasional, dan sekumpulan bekas ahli Parlimen PKR bersama membentuk Perikatan Nasional.

Kebuntuan selama seminggu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ke-7 berakhir pada Ahad apabila Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri.

“Ini peluang untuk PAS menyerlahkan Islam dan memberikan khidmat yang terbaik,” kata Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin.

Menjangkakan ramai pemimpinnya akan menyertai pentadbiran Muhyiddin, Abdullah percaya PAS akan menyuntik “politik matang, telus, dan berdisiplin tinggi” ke dalam kerajaan.

“Pengalaman di Kelantan tiada seorang exco pun yang didakwa di mahkamah melakukan rasuah,” katanya.

Beliau memberitahu FMT nama pimpinan PAS yang akan sertai Kabinet Muhyiddin belum dimuktamadkan.

Sementara itu, ahli majlis syura, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata PAS menyerahkan kepada rundingan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi, kerana apa yang penting ialah bagaimana parti Islam itu boleh berperanan dalam memulihkan ekonomi, mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan tahap pendidikan.

Tiada ulasan: