Bagi imbangi keperluan doktor perubatan sedia ada
KUALA LUMPUR
– Kerajaan bersedia memanggil semula doktor perubatan yang sudah
bersara atau pegawai perubatan yang berkhidmat dalam angkatan tentera,
sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham
Baba berkata langkah itu hanya akan dilakukan apabila perlu, bagi
mengimbangi keperluan doktor perubatan sedia ada, dalam usaha
meningkatkan sistem penjagaan kesihatan negara.
“Sekiranya berlaku pertambahan kes
(COVID-19) seperti di negara luar yang (naik) mendadak, kita tidak ada
alasan untuk (tidak) panggil balik doktor yang sudah pencen dan doktor
angkatan tentera untuk bantu kita,” katanya ketika menjadi tetamu
program Bicara Naratif bertajuk COVID-19: Ambil Tahu & Bertindak
Segera yang disiarkan secara langsung di TV1.
Bagaimanapun, Dr Adham berkata negara
kini masih mempunyai keupayaan doktor perubatan yang mencukupi bagi
mengawal kes berkaitan COVID-19 dan masalah kesihatan yang lain.
Ia termasuk usaha kementerian menempatkan
1,000 doktor pelatih di 44 hospital kerajaan seluruh negara bagi
membantu melicinkan operasi harian susulan penularan COVID-19, sekali
gus meredakan bebanan doktor sedia ada.
Malah kementerian juga telah menambah 830
jururawat lantikan secara kontrak bagi menambah kapasiti petugas di 135
hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif
COVID-19 semakin ketara sejak minggu lepas.
Dalam pada itu, Dr Adham berharap
Malaysia dapat menjadi salah sebuah negara yang mampu membangunkan
vaksin termasuk COVID-19 bagi melindungi rakyat negara ini daripada
wabak yang membawa maut.
“Kita akan menyertai WHO (Pertubuhan
Kesihatan Sedunia) supaya ada pakar kita akan sama-sama berinteraksi
supaya kita boleh jadi salah satu negara yang membangunkan vaksin ini.
Usaha ini bagi masa depan untuk kita lindungi rakyat kita,” katanya.
Dalam program siaran langsung itu, Dr
Adham turut berkongsi demonstrasi cara mencuci tangan dengan betul
menggunakan cecair pembasmi kuman, selain menasihati orang ramai untuk
mengikuti arahan kerajaan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan
Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.
Terdahulu, dalam program Eksklusif
Menteri Kesihatan menerusi siaran langsung Berita Perdana TV1 malam ini,
Dr Adham berkata tanda-tanda bahawa jumlah kes COVID-19 di Malaysia
akan stabil sudah ada dan berharap angkanya tidak akan meningkat lagi.
Bilangan kes baharu positif COVID-19 di
negara ini mula menunjukkan trend mendatar dengan jumlah 125 kes
direkodkan pada Isnin diikuti 120 kes (Selasa), 117 kes (Rabu) dan 110
kes hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan