Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan Perikatan Nasional akan meneliti sama ada pakej dilancarkan bagi mengurangi kesan ekonomi kepada negara susulan penularan wabak Covid-19 itu dapat betul-betul memberi manfaat kepada semua pihak yang terjejas.
“Kita akan nilai sama ada RM20 bilion itu adalah satu jumlah yang mencukupi atau perlu ditambah bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat daripadanya.
“Ini kita serahkan kepada Menteri Kewangan untuk menentukan kumpulan-kumpulan sasar yang belum mendapat faedah PKE 2020.
“Kita juga akan melihat kepada langkah-langkah lain untuk meningkatkan keyakinan pelabur, perkara ini akan kita teliti semasa kita melancarkan semula PKE 2020,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pertamanya hari ini.
Menurut Muhyiddin, PKE 2020 akan dilancarkan dalam tempoh seminggu-dua lagi.
Selain itu, kerajaan juga akan memberikan bantuan kewangan kepada pesakit Covid-19 ataupun individu-individu yang dikuarantin akibat wabak tersebut.
Ini menurut Muhyiddin adalah untuk memastikan kehidupan mereka tidak terjejas meskipun mungkin terpaksa berhadapan dengan gangguan pendapatan kerana terpaksa dikuarantinkan atau perlu mendapatkan rawatan.
Artikel berkaitan: Tun M Umum Pakej Rangsangan Ekonomi 2020
Dengan itu, kerajaan melancarkan sebuah tabung untuk mengutip dana kepada pesakit-pesakit Covid-19.
Tabung yang diberi nama Tabung Covid-19 itu mendapat derma permulaan RM1 juta daripada kerajaan dan Muhyiddin merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu meringankan beban pesakit yang telah dijangkiti virus pembunuh tersebut.
“Dermalah apa yang ada untuk membantu, bukan kerajaan tetapi rakyat yang telah dijangkiti penyakit ini termasuk individu yang ditahan dalam kuarantin supaya kehidupan mereka tidak terjejas.
“Apa yang kerajaan kumpul, kami akan serahkan semuanya kepada pesakit-pesakit tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan