UMNO Online
KUALA
LUMPUR – Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin diseru supaya memilih Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih berkaliber dan
berintegriti selain mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang
penyiasatan serta pencegahan rasuah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul
Kadir berkata, lantikan bukannya sekadar tangkap muat kerana mencegah
rasuah ini memerlukan komitmen yang tinggi demi masa depan negara yang
lebih proaktif.
“Usah diulangi kesilapan lalu yang tidak memandang serius kepada
inisiatif pencegahan rasuah ini. Lantiklah Ketua Pesuruhjaya yang
mempunyai pengalaman serta kemampuan dalam bidang tersebut.
Janganlah
menjadikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai satu jawatan lantikan
politik seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH)
sebelum ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu ini.
Dilaporkan, semalam Latheefa Koya telah mengesahkan khabar angin yang
berlegar bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua
Pesuruhjaya SPRM.
“Keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai orang nombor satu di dalam SPRM itu bukan sekadar wajar, malah amat wajar!
“Ini kerana, sejak dilantik ke jawatan itu tahun lalu, Latheefa Koya
dilihat gagal mengurus persepsi rasuah di negara ini dengan baik.
Sebaliknya, keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut terus merosot dan
rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kredebilitinya.
“Kegagalan Latheefa Koya dalam memimpin SPRM ini dikatakan sebagai
sebahagian daripada punca hilangnya kepercayaan rakyat kepada
pentadbiran Kerajaan PH.”
Maka katanya, atas sebab itulah apabila Kerajaan PH tumbang beberapa
hari lepas dengan majoriti rakyat menyambut baik dan gembira kerana
mereka sudah bosan dengan drama serta janji-janji yang tidak ditunaikan.
“Apatah lagi, sejak Mei 2018, SPRM dilihat seperti menjadi alat oleh
Latheefa Koya yang lebih berminat mengenakan tindakan terpilih dengan
niat serta agenda politik tertentu.”
Dalam hal ini juga, beliau turut menyeru kerajaan baharu agar
mempertimbangkan untuk melantik pegawai dari kalangan kakitangan awam
khususnya dari agensi SPRM sendiri untuk diangkat ke jawatan tersebut.
“Pegawai dari kalangan kakitangan awam khususnya daripada SPRM
sendiri yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyiasatan dan
pendakwaan serta tidak mempunyai sebarang agenda tersendiri lebih layak
untuk diberi tanggungjawab bagi menggalas amanah rakyat untuk
membanteras kegiatan rasuah di negara ini.
“Yakin dan percayalah kepada pegawai dari kalangan kakitangan awam
dan SPRM sendiri untuk diberi peluang memimpin agensi tersebut. Mereka
lebih tahu. Mereka lebih telus, dan paling penting mereka tidak
mempunyai sebarang agenda politik tertentu seperti mana Latheefa Koya
sebelum ini yang sememangnya sinonim dengan parti politik di dalam PH.
“Justeru, kami juga senada dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu SPRM dikembalikan
menjadi sebuah agensi yang telus serta tidak dipengaruhi mana-mana
individu atau parti politik dalam menjalankan tugas penyiasatan dan
pendakwaan terhadap jenayah rasuah di negara ini.
“SPRM perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk mengambil tindakan
kepada sesiapa pun yang melakukan rasuah tanpa mengira ideologi serta
parti politik mereka.”
Beliau turut melahirkan rasa percaya dengan pengalaman serta
ketokohan Tan Sri Muhyiddin serta kepimpinan lain khususnya dari
Muafakat Nasional, maka mampu untuk menjayakan hasrat membersihkan
Malaysia daripada jenayah rasuah.
“Mereka juga telah mengatakan berulang kali mengenai komitmen
masing-masing untuk memerangi rasuah habis-habisan. Yakinlah dengan
mereka. Kerana Kerajaan baharu ini tidak seperti Kerajaan PH yang hanya
melepaskan batok di tangga,” katanya lagi. – UMNO Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan