Semua pihak kena berganding bahu bantu kerajaan lawan COVID-19
BANGI - Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji
Aminuddin Yahaya meminta bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul
Samad berhenti daripada melihat setiap perkara melalui kaca mata
politik.
Beliau membuat permintaan demikian
susulan kritikan Khalid terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) –
diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin – dalam mengendalikan kes COVID-19.
“Sebelum itu terkawal. 24 kes, 22 sembuh.
Dua sahaja dalam rawatan. Gelombang kedua pada 27 Februari semasa
Kerajaan PN sedang ditubuh, tiada Kabinet. Kabinet ditubuh 10 Mac.
“Tindakan khianat Azmin, Muhyiddin,
Zahid, Hadi dan GPS bawa bala kepada negara. Nak sangat kuasa..tebuk
atap,” kata Khalid menerusi akaun Twitter hari ini.
Haji Aminuddin mendakwa, tiada faedah
jika isu sebegini ditimbulkan sebaliknya adalah lebih baik jika semua
pihak berganding bahu membantu kerajaan dalam melawan wabak berkenaan.
“Pada masa sama, kerajaan juga harus
terbuka kepada pembangkang untuk sama-sama bekerjasama. Ini adalah masa
untuk kita bersatu padu, bukannya bermusuhan kerana wabak ini tidak
mengenal siapa kerajaan dan siapa pembangkang. Rakyat benar-benar
memerlukan pemimpin yang berjiwa besar dan berpandangan jauh.
“Janganlah kita sendiri mendedahkan
kecetekan akal dan kerendahan maruah kita dengan kata-kata yang tidak
wajar sebegini. Isu khianat atau tidak, saya berpendapat itu hanyalah
istilah politik yang terdesak mahukan sokongan, tidak lebih dari itu,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin
menegaskan bahawa rakyat kini sedang dalam kesusahan baik dari segi
kesihatan, ekonomi dan kewangan.
“Justeru, janganlah kusutkan lagi suasana sebaliknya marilah kita bersama-sama menenangkan keadaan,” kata beliau.
Malaysia mencatat dua kematian akibat wabak COVID-19 iaitu pesakit dari kes ke-178 dan ke-358.
Kes ke-178, ialah seorang lelaki warga
Malaysia yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di Seri Petaling
baru-baru ini sementara kes ke-358 pula ialah seorang lelaki berumur 60
tahun di Kuching, Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan