Rabu, 18 Mac 2020

COVID-19: Bersatulah wahai kerajaan, pembangkang

siti hafidah

 

Masalah negara jauh lebih besar daripada agenda politik peribadi


BANGI – Semua pihak dari blok kerajaan mahupun pembangkang harus bersatu tenaga untuk 
memastikan Malaysia aman serta rasional dalam menghadapi krisis COVID-19.

Ketua Penerangan Angkatan Pemuda BERJASA (ANGKASA), Asyraf Badhrul berkata, masalah negara adalah lebih besar daripada agenda peribadi dan politik, serta memerlukan kerjasama semua pihak.

“Dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan ini, tindakan kerajaan melantik Majlis Keselamatan Negara untuk mengambil alih dari Kementerian Kesihatan Malaysia adalah wajar kerana impak isu ini telah menjangkaui klinik dan hospital.

“Ini adalah bagi memastikan penyelarasan dalam setiap arahan dan penyampaian informasi. Namun begitu, ketiadaan medium utama berpusat (centralised main medium) seperti laman web rasmi COVID-19 selain daripada Telegram MKN adalah sesuatu yang harus diberi perhatian secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping perlu menjadi lebih cekap dalam menangani sebarang kekhilafan, Asyraf berkata, kerajaan seharusnya lebih peka dan menolak tepi sebarang sentimen politik kepartian.

Beliau menyifatkan desas-desus mengatakan negeri di bawah kelolaan pembangkang ‘dianaktirikan’ adalah sesuatu yang amat sukar diterima.

“Bagi pembangkang pula, tidak perlu untuk tuding jari dan cetuskan suasana panik dengan provokasi murahan. Menyalahkan kerajaan semata-mata tidak akan memanfaatkan mana-mana pihak sekalipun.

“Ingatlah, ketika pembangkang berkuasa sebelum ini, mereka juga tidak lari dari melakukan kesilapan, bahkan ketika itu kita bernasib baik keadaan belum lagi teruk seperti sekarang. Apakah pembangkang boleh memberi jaminan bahawa keadaan akan lebih baik sekiranya mereka masih berkuasa?,” soal beliau.

Dalam menghadapi situasi mencabar ini, Asyraf turut menggesa rakyat akur dengan arahan pihak berkuasa.

Katanya, segala arahan dan keputusan yang dibuat pasti telah dibincang dengan lumat dan mempunyai objektif tersendiri.

“Umum mengetahui Perintah Kawalan Pergerakan adalah bertujuan untuk ‘social distancing’, maka wajar untuk rakyat mengelak sebaik mungkin untuk berada di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk menjadi tumpuan ramai.

“Perintah ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita pulang ke kampung halaman tanpa keperluan yang mendesak, atau membeli barang dengan panik sehingga mencetuskan gangguan bekalan barangan asasi di pasaraya,” katanya.


Tiada ulasan: