Isnin, 23 Mac 2020

Kerajaan setuju tetap harga topeng lebih rendah segera

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, stesen minyak 
juga dikehendaki menyediakan cecair pembasmi kuman untuk 
kegunaan pemandu yang mengisi minyak bagi menyekat penularan 
wabak Covid-19.
 
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga penutup mulut dan hidung kepada harga baru lebih rendah yang akan ditetapkan dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan pihak industri dengan segera bagi tujuan itu.

“Harga topeng RM2 (sekeping) adalah terlalu mahal, maka mesyuarat khas menteri-menteri berhubung perintah kawalan pergerakan hari ini bersetuju harga perlu diturunkan.

“Jadi saya jangka dalam waktu terdekat …KPDNHEP perlu segerakan agar kita boleh buat pengumuman dan yang penting mesti di bawah RM2,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, stesen minyak di seluruh negara diwajibkan menyediakan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan pemandu yang mengisi minyak.

“Terdapat kerisauan bahawa pam minyak diguna secara bergilir-gilir, maka perlu ada cecair pembasmi kuman.

“Pemandu boleh menggunakannya kemudian mencuci tangan mereka dahulu sebelum pam, dan selepas pam minyak boleh cuci tangan lagi sebelum teruskan perjalanan,” katanya.

Tiada ulasan: