Orang Cina, India perlu akur pada identiti watan berakarkan Melayu

BANGI- Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak perlu mengajar orang
Melayu mengenai politik orang Cina, memandangkan mereka sendiri sudah
menunjukkan belang sejak tahun 2008 sehinggalah kemuncak taring ketika
Pakatan Harapan (PH) memerintah, dakwa Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman.
Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah
Se-Malaysia (Berjasa) itu mendakwa, politik orang Cina adalah politik
tamak dan mementingkan diri serta kaum sendiri sahaja.
Dakwanya, perkara itu dapat dilihat
apabila mereka mempersenda identiti nasional dan bermati-matian
pertahankan sekolah vernakular agar lahir generasi Cina yang tak perlu
akur kepada identiti berkenaan.
“Kita orang Melayu boleh terima kaum Cina
dan kaum India sebagai warganegara setaraf hak kerakyatan, namun mereka
mesti akur pada identiti watan ini yang berakarkan sejarah tanah
Melayu, budaya Melayu, raja-raja Melayu, Islam sebagai agama negara,
bahasa Melayu bahasa kebangsaan, sebagai identiti nasional.
“Belajarlah bahasa Cina, tapi akur bahawa bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan, jangan kurang ajar.
“Pertahankanlah agama Budha, Kristian
kamu, tapi jangan kurang ajar dengan pelbagai provokasi terhadap agama
Islam, nabi. Wee Ka Siong faham benda-benda ini tidak? PAS dan UMNO ajar
tidak benda-benda ini?,” soalnya dalam satu kenyataan.
Ustaz Mohd Hazizi berkata demikian
sebagai mengulas wawancara Presiden MCA itu bersama Ketua Pengarang
Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang
Berita Sinar Harian, Ong Boon Teck baru-baru ini.
Dalam temu bual itu, Ka Siong mendakwa
masyarakat Cina marah dengan PH sampaikan tiada seorang pun kata
prestasi perniagaan mereka baik.
Beliau juga menegaskan untuk tidak mahu
mendengar cakap-cakap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah
kerajaan Melayu Islam.
“Saya di sini untuk sama-sama membantu Perdana Menteri dan Kabinet untuk menggambarkan kemajmukan Malaysia.
“Kita di sini turut memainkan peranan
yang penting bagi mencapai kestabilan sosial dan juga kesejahteraan
rakyat tanpa mengira kaum. Ini penting. Saya rasa bukan mudah tetapi
kita akan menggalas tanggungjawab ini secara berwaspada dan buat yang
terbaik untuk negara.
“Dan awal-awal lagi Tan Sri Muhyiddin
kata dia ialah Perdana Menteri untuk semua. Jadi bagaimana kita mahu
menterjemahkan dengan satu tindakan dan semua anggota Kabinet dapat
mendukung cita-cita itu,” katanya.
Ustaz Mohd Hazizi menegaskan, apa yang Ka Siong katakan tidak mewakili 90 peratus orang Cina yang kekal memilih DAP mahupun PH.
“Dia bercakap mengenai 10 peratus Cina
yang undi MCA atau BN. Kita nak faham politik orang Cina berdasarkan 90
peratus atau 10 peratus?,” soal beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan