Universiti ke-2 selepas USM guna kaedah pembelajaran sama
ALOR SETAR
– Selepas Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia
(UUM) pula mengumumkan bahawa ia juga akan menjalankan semua kuliah
secara dalam talian apabila semester baharu bermula 5 April ini dalam
usaha membendung penularan virus COVID-19.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa) UUM, Prof Dr Yusnidah Ibrahim berkata pelaksanaan itu
membenarkan semua pelajar untiversiti itu untuk mengikuti kuliah secara
dalam talian dari luar kampus termasuk dari tempat tinggal pelajar
masing-masing.
“Penularan wabak COVID-19 di Malaysia
menunjukkan peningkatan dan pihak UUM amat prihatin dengan kebajikan
pelajar, pensyarah dan seluruh warga universiti terutamanya dalam
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam dan luar
kampus.
“Bermula semalam hingga 26 Mac ini, semua
kuliah akan berjalan seperti biasa namun pihak universiti tidak
menghalang sekiranya ada pensyarah yang ingin mengendalikan kuliah
secara dalam talian bermula minggu ini kerana pelaksanaan itu hanya
bermula pada 5 April,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Yusnidah berkata, sebarang komunikasi
antara pelajar dengan pensyarah, pusat pengajian dan lain-lain jabatan
di UUM juga akan dilakukan secara dalam talian atau laman sosial.
“Semua bentuk penilaian sama ada
peperiksaan pertengahan semester, tugasan, kuiz, pembentangan projek dan
peperiksaan akhir yang akan bermula dari 31 Mei hingga 27 Jun hadapan
juga akan dilakukan secara dalam talian dan kaedah lain akan dimaklumkan
oleh pihak universiti kelak.
“Cuti pertengahan semester bagi pelajar
program sarjana muda dari 27 Mac hingga 4 April ini juga akan diteruskan
seperti biasa. Pelajar dari Sabah, Sarawak, antarabangsa dan pelajar
yang mempunyai keperluan tertentu boleh memilih untuk berada di dalam
atau luar kampus semasa dan selepas cuti semester,” katanya.
Bagaimanapun, kumpulan pelajar itu perlu
mendaftarkan diri mereka kepada pihak Inapan Siswa (INASIS) bagi
tindakan pemantauan seterusnya.
Semalam, Naib Canselor USM Prof Dr Faizal
Rariq Mahamd Adikan berkata universiti itu mula menjalankan semua
kuliah dalam talian bermula semalam untuk membendung penularan virus
COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO). – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan