Tertuduh dibenar ikat jamin RM26,000 dengan seorang penjamin

SEREMBAN –
Seorang jurujual kereta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini,
atas empat pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Johor Sultan Ibrahim
Sultan Iskandar di laman sosial Facebooknya.
Azrin Bidin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh
didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan laman profil
Facebook Azrin Bidin, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran
dengan niat untuk menganiayai orang lain.
Bapa tiga anak yang berasal dari Muar itu
dituduh melakukan kesemua perbuatan tersebut di Bandar Seremban
Selatan, pada 8.41 pagi, 15 Januari dan antara 8.29 malam hingga 11
malam, 2 Mac.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen
233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh
dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang boleh didenda tidak lebih
RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi
Hashim memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap
pertuduhan dengan seorang penjamin mengambil kira perbuatan tertuduh
yang telah melakukan penghinaan yang berat terhadap Yang di-Pertuan
Agong dan Sultan Johor.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam
merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia perlu menyara keluarga dan
isteri yang tidak bekerja.
Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin
RM26,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7
April untuk sebutan semula kes.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan