KUALA LUMPUR – Seorang doktor perubatan menjadi korban kesembilan COVID-19 di Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, ia merupakan kematian pertama yang melibatkan kakitangan kesihatan di negara ini.
“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.
“Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi, 22 Mac 2020.
“Kes jangkitan COVID-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit COVID-19.
“Ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam satu ciapan di Twitter memaklumkan pemergian allahyarham Dr. Usman Sani Saidin.
Allahyarham merupakan seorang Pakar Patologi Hospital Tuanku Fauziah.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan