Isnin, 23 Mac 2020

Bas awam boleh beroperasi maksimum 9 jam

Bas awam hanya boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 10 pagi 
dan 5 petang hingga 10 malam.
 
PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan bas awam hanya dibenarkan beroperasi dalam 2 syif, dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam pada hari bekerja, sepanjang perintah kawalan pergerakan.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata ini susulan pelaksanaan penjarakan sosial, langkah penting bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan penumpang bas.

Katanya, teksi dan kenderaan e-hailing pula dikecualikan daripada peraturan itu.

“Pemandu perlu sentiasa memakai topeng ketika bertugas dan mengekalkan jarak 1m antara mereka dan penumpang,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.

Beliau berkata, pengusaha stesen minyak wajib menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan untuk digunakan sebelum dan selepas mengangkat pam minyak.

Ismail berkata, kadar pematuhan perintah kawalan pergerakan kini mencapai 92% dengan kira-kira 2.5 juta orang masih ingkar.

“Polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Agensi Pertahanan Awam kini bekerjasama mengadakan lebih 1,900 sekatan jalan raya di seluruh negara.

“Ini merupakan peningkatan 98% daripada sebelum ini.

“Sebanyak 120,615 kenderaan diperiksa dan dinasihat mematuhi perintah kawalan pergerakan.”
Ismail berkata, polis turut membuat 1,719 hebahan di seluruh negara.

Walaupun kadar pematuhan perintah kawalan pergerakan meningkat, tetapi katanya, tahap pemahaman mengenai kepentingan penjarakan sosial masih rendah.


Tiada ulasan: