Jumaat, 20 Mac 2020

5 anggota polis cedera dirempuh semasa Op Covid19

Wartawan MalaysiaGazette
polis
Keadaan salah seorang anggota polis yang dilanggar semasa 
Op Covid 19 di Jalan Syed Putra. 
 
KUALA LUMPUR – Lima anggota polis cedera dirempuh lori semasa menjalankan tugas Sekatan Jalan Raya Op Covid 19 di Jalan Syed Putra di sini kira-kira pukul 12.45 pagi tadi.

Dalam kejadian tersebut Konstable Mohd Afendi cedera di bahagian kepala, bahu kiri dan kaki mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Empat mangsa lagi iaitu Inspektor Afifi Zulhusni, Koperal Khairul Nizam, Koperal Azizi dan Lans Koperal Wan Kamarul cedera ringan juga mendapat rawatan di hospital yang sama.

Insiden tersebut dikongsi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) di laman Instagram.

“Seluruh warga Jabatan Siasatan Dan PenguatkuasaanTrafik Kuala Lumpur mendoakan agar semua mangsa cepat sembuh dan kembali menjalankan tugas seperti biasa,” kata JSPTKL.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula melancarkan Op Covid 19 pada hari pertama untuk menasihati orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Perintah tersebut berkuatkuasa kelmarin, Rabu.

Hari ini adalah hari ketiga perintah tersebut dikuatkuasakan, namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mematuhinya dengan pelbagai alasan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: