Ahad, 19 Januari 2020

Warisan didesak batal PSS selepas tewas PRK Kimanis

Nizam Zain
MGF19012020_HARI-PERTAMA-MP-KIMANIS_08
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (dua kiri) beramah mesra dan mengucapkan terima kasih kepada peniaga dan penduduk pada hari pertama sebagai Ahli Parlimen Kimanis selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pasar Tamu Pekan Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL
 

KIMANIS – Kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semalam adalah satu signal rakyat mahu kerajaan negeri membatalkan Pas Sementara Sabah (PSS).

Ahli Parlimen Kimanis yang baharu, Datuk Mohamad Alamin menegaskan, PSS antara perkara pertama yang beliau akan bawa ke parlimen kelak bagi memastikan ia tidak dilaksanakan.

“Sudah tentu saya lawan isu PSS, ia tidak elok untuk rakyat, saya bersama rakyat akan bantah sekeras-kerasnya. Dengan kekalahan Warisan kali ini, akan minta mereka batalkan sahaja PSS.

“Kalau mereka mahu rakyat hidup tenang, mereka perlu pertimbangkan batal untuk batal PSS,” katanya kepada pemberita ketika menyantuni rakyat Kimanis di Pekan Membakut hari ini.

Semalam, Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya, Jupery Etok mengumumkan bahawa PRK P176 Kimanis dimenangi oleh Mohamad dengan majoriti 1,913 undi.

Mohamad memperoleh 12,414 undi menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang mendapat 10,501 undi.

Sebaik sahaja Mohamad berjaya mempertahankan kubu kuat BN itu, beliau tidak lupa untuk menyantuni dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi Kimanis di Tamu Pekan Membakut, hari ini.

“Alhamdulillah pagi ini saya berada di Pekan Membakut berjumpa dengan rakyat sebagai tanda terima kasih saya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah mengundi BN.

“Mungkin ada yang tak sempat bersalam sebelum ini, ini aktiviti terawal saya selepas menang semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: