Selasa, 7 Januari 2020

Video seks menteri: Laporan analisis telah diterima

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Laporan analisis yang dijalankan oleh pakar dari Amerika Syarikat (AS) terhadap video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah diterima pada akhir bulan lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Menurut Huzir ia termasuk dapatan tentang ketulenan video berkenaan dan laporan itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Polis dan Jabatan Peguam Negara akan memberikan kenyataan berhubung siasatan kes video seks itu dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian tahun 2019 dan perancangan tahun 2020 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini semalam.

Pada tahun lepas, PDRM mendapatkan kepakaran AS untuk mengesahkan ketulenan video seks yang melibatkan seorang menteri.

Dalam perkembangan lain Huzir memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman berjumpa dengan Peguam Negara petang semalam, berhubung tiga kes yang sedang disiasat unit berkenaan.

“Ia berkait dengan siasatan kes video seks melibatkan seorang menteri berkenaan, akuan bersumpah (SD) Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan SD Azilah Hadri terhadap Datuk Seri Najib Razak,” katanya.—Bernama 

Tiada ulasan: