Perdana Menteri sendiri telah melabel pertubuhan Cina itu sebagai rasis

BANGI
– “Jangan kerana sayangkan jawatan, Mujahid sanggup ‘membersihkan’
mereka yang cuba menghapuskan identiti negara iaitu identiti bangsa
Melayu sebagai teras!,” demikian tegas Presiden gerakan Islam utama,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.
Hari ini,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr
Mujahid Yusof menerima kunjungan Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga
Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dalam satu pertemuan
tertutup berhubung isu tulisan jawi dalam pembelajaran di sekolah jenis
kebangsaan Cina (SJKC) di Kompleks Islam Putrajaya.
Dalam sidang
media selepas pertemuan itu, beliau berkata, isu pembelajaran jawi
perlu dihentikan demi memastikan keharmonian negara terjamin.
Selain itu,
menteri agama itu berkata, tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang
pembelajaran jawi dan beliau turut menegaskan bahawa ia bukan pertubuhan
rasis.
Isu yang
dibangkitkan Dong Jiao Zong, katanya, hanyalah berkenaan kaedah
pembelajaran yang mana ia memerlukan perbincangan konstruktif oleh semua
pihak.
Melihat
kepada kenyataan menteri tersebut, Aminuddin berkata, terdapat dua
kemungkinan iaitu sama ada Mujahid ditipu atau rakyat diperbodohkan.
“Itu saya
tak pasti. Yang pasti ialah Dong Zong secara jelas dalam banyak
kenyataan dan tindakan mereka sebelum ini menentang pembelajaran tulisan
jawi.
“Saya
sungguh terkejut dengan kenyataan beliau ini. Apakah moral menteri agama
kita begitu rendah sehingga sanggup membersihkan nama pertubuhan yang
perdana menteri sendiri melabelkan mereka sebagai rasis,” katanya dalam
satu kenyataan, hari ini.
Mengulas
lanjut, beliau berkata, sekiranya menteri agama berpendirian sebegini,
maka tidak ada apa yang orang Melayu dan umat Islam boleh harapkan
sebagai tempat untuk bergantung dalam mempertahankan kedaulatan agama
Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.
“Saya mohon
laluan agar menteri agama membenarkan NGO-NGO Islam dan Melayu untuk
bertemu dengan beliau bagi menjelaskan apa sebenarnya yang dilakukan
oleh Dong Zong,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan