Ahad, 5 Januari 2020

Rombak Kabinet, Sarawak selamat

HAMDAN SANI
 
 

TERIMA kasih atas khidmat mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang telah berkhidmat selama 20 bulan. Di sebalik serba sedikit kelemahan dalam pentadbiran beliau, jangan pula kita menutup mata akan jasanya dalam tempoh perkhidmatan yang singkat ini, termasuk meringankan beban guru dan melaksanakan perubahan terhadap budaya politik di kampus.

Kami mengharapkan pengganti beliau akan berkhidmat dengan lebih cemerlang, malah sanggup untuk duduk semeja bersama mantan-mantan Menteri Pendidikan demi memastikan agenda pendidikan nasional dapat diperbaiki dan sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan. Besar harapan anak bangsa, untuk munculnya perubahan-perubahan yang bukan bersifat kosmetik semata, namun mampu melahirkan generasi baharu yang berdisiplin, berpengetahuan luas, berakhlak mulia dan mampu membeza antara kaca dengan permata.

Sewajarnya peletakan jawatan ini menjadi medan muhasabah kepada seluruh Menteri Kabinet sekarang. Pada saat ada yang berani mengakui kelemahan diri lantas mengundur dari jawatan, ada pula pak Menteri yang masih lagi ponteng Parlimen, mengeluarkan kenyataan yang berlandaskan persepsi dan berbaur auta, malah berani bermain dengan sentimen perkauman. Belum lagi disebut dengan prestasi merudum hampir setiap profil Menteri dalam aspek pembangunan ekonomi dan keselamatam negara, dan akhlak anak watan sehingga menggandakan lagi keresahan dalam diri anak bangsa terhadap masa depan Malaysia tercinta.

Semakin mengecewakan, ada pula pihak yang sibuk bermain kontroversi lucah dan fitnah, sehingga berterusan mencalit arang kehinaan terhadap politik negara, demi cintanya kepada posisi dan kedudukan.

Tidak salah untuk kami terus mendesak agar adanya reformasi terhadap Kabinet sedia ada, mengharapkan YAB Perdana Menteri menambahkan ketelitian dalam melantik Menteri-menteri, supaya mereka lebih bekerja demi kesejahteraan rakyat, sesuai dengan elaun puluhan ribu dan tersedianya kereta mewah, tatkala rakyat ada yang berhimpit di dalam bas dan LRT untuk ke tempat kerja. Turut sama diutarakan hasrat kami bahawa YAB Perdana Menteri menyiasat terlebih dahulu latar belakang calon-calon Menteri Kabinet, agar tiada penipuan kelayakan akademik selaras dengan usaha pihak kerajaan meningkatkan nilai integriti pada setiap peringkat pentadbirannya.

Cukup besar harapan kami untuk melihat kerajaan membina saf Kabinet daripada kalangan teknokrat; Kementerian Kewangan dipegang oleh orang yang berkelayakan dalam bidang kewangan, Kementerian Pertahanan ditadbir oleh mantan Panglima TDM, TUDM atau TLDM, Kementerian Perpaduan diuruskan oleh tokoh perpaduan masyarakat dan senarai ini terus berpanjangan, dengan harapan biarlah posisi penentu dan penggerak polisi negara diserahkan kepada orang yang selayaknya.

Demi kesejahteraan yang didambakan pada tahun baharu ini, beranilah kalian untuk meninggalkan kesalahan lalu, menuju perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada rakyat dan negara tercinta.

HAMDAN SANI - Ketua Pemuda PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: