PRK KIMANIS | Bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein membangkitkan insiden pencerobohan Lahad Datu dalam menyuarakan bantahannya terhadap pas sementara Sabah (PSS) yang antara isu utama dalam kempen PRK ini.
Beliau merujuk insiden pada awal 2013 itu apabila kumpulan bersenjata dari selatan Filipina, menggelarkan diri sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu, menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu.
Pertembungan berlaku dan pasukan keselamatan melancarkan "Ops Daulat" pada 5 Mac tahun itu.
Secara keseluruhan, kira-kira 56 militan, sepuluh anggota keselamatan negara dan enam orang awam terkorban.
"Apa yang saya sentuh dengan PSS ada kaitan dengan keselamatan Sabah. Banyak yang telah dibicarakan, dibangkitkan oleh banyak pihak dan ramai juga yang tidak perasan bahawa isu keselamatan itu sesuatu yang telah kita lalui ketika kes Lahad Datu.
PSS yang akan dikuatkuasakan Jun ini ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang asing, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an. Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an.
Selainnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.
Ketiga-tiganya
dikeluarkan tiga agensi berbeza: IMM oleh Jabatan Imigresen, kad
Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh
Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dan calon Warisan Karim Bujang mengatakan PSS adalah cadangan BN dan kerajaan hari ini memutuskan untuk meneruskannya.
Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata walaupun jika benar BN merupakan pihak yang mencadangkan PSS sebelum ini, kerajaan negeri ada kuasa untuk tidak meneruskannya jika ia memberi kesan negatif.
"Kalau PSS dimulakan oleh BN ini akan membawa kesan negatif dan bantahan orang Sabah pada masa itu...Mengapa hendak dibangkitkan sekarang?
"Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh BN dia tangguh, ubah tapi benda sebegini bila dapat bantahan dia tuduh kita juga," katanya lagi.
Katanya lagi, walaupun Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mungkin akan menunjukkan dokumen bagi membuktikan PSS dicadangkan BN, ia tidak akan mengubah pendirian pengundi.
"Adakah itu akan mempengaruhi rakyat Kimanis dan Sabah? Tidak, sebab ini bukan perkara kecil," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan