Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan perkara tersebut hari ini berkata, sebelum ini pihaknya terpaksa memberikan beberapa pilihan kerana Proton Perdana tidak mempunyai stok mencukupi untuk menampung permintaan.
“Isu kereta rasmi ini sebenarnya lebih kepada pilihan sahaja sebelum ini. Apabila kontrak fleet ini dianugerahkan kita sebenarnya mahu mengekalkan penggunaan Proton Perdana tetapi syarikat pula tidak mencukupi stok.
“Jadi kita berikan pilihan, jika tiada Proton Perdana, ada pilihan lain. Itu sahaja. Sekiranya tidak cukup, kita beri pilihan.
“Tetapi kini sudah ada pengesahan kereta Proton Perdana itu mencukupi stok bagi menteri, timbalan serta pegawai kerajaan lain yang menggunakan kenderaan rasmi. Jadi, tidak ada masalah.
“Media janganlah gembar gemburkan perkara yang tidak benar pula, stok cukup jadi kita kekalkan Proton Perdana,” katanya kepada pemberita selepas beliau menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementeri Kewangan hari ini.
Sebelum
ini kecoh dengan berita kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah
syarikat untuk membekalkan kenderaan mewah untuk kegunaan rasmi menteri
dan pegawai kanan kerajaan.
Janji
niaga itu akan menyaksikan peruntukan 32 unit Toyota Vellfire untuk
kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan
kerajaan.
Berita
tersebut juga kemudian mendapat pengesahan daripada Guan Eng namun kata
beliau pada penghujung tahun lepas, perkara itu hanya dipraktikkan
sekiranya mendapat kelulusan kabinet.
Ketika ditanya kepada siapakah kontrak itu akan diberikan adakah
kepada pihak yang sama, Guan Eng enggan mengulas sebaliknya berkata akan
ada pengumuman dalam masa terdekat.“Kontrak yang sama? Yang itu kita akan umumkan kelak. Sebenarnya saya tidak terlibat dengan pemberian kontrak tersebut. Nanti ada pengumuman,” ujarnya.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam nada meyindir berkata, rata-rata media berminat dengan soalan berkaitan penggunaan kenderaan rasmi kerana ia berkait dengan menteri dan timbalan menteri.
“Dalam isu ini, sebenarnya pegawai kerajaan juga akan menggunakan kenderaan rasmi tetapi fokus dan tumpuan hanya diberikan kepada menteri pula. Ini pilihan sahaja kalau tidak ada kenderaan itu, maka kita guna pilihan lain.
“Sekarang Proton Perdana ada stok, kita kekal guna Proton,” tegasnya. –MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan