DEMAM Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis tidak mengganggu kegiatan harian penduduk kawasan itu, malah bagi seorang pengusaha kopi, operasi tetap diteruskan walaupun pekarangan kilangnya dijadikan markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpangan, Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Pengusahanya, Wong Fui Ann, 50, tetap sibuk memasak biji kopi ketika orang ramai berkumpul untuk mendengar ceramah pemimpin WARISAN, termasuk Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.
Kepulan asap hingga ke khemah PDM WARISAN, turut menarik perhatian Mohd Shafie ketika beliau berceramah yang kemudian bertanya punca asap keputihan berkenaan yang berbau hangit sebelum dijawab ‘kopi’ oleh orang ramai yang hadir.
Bercerita mengenai perusahaannya, Fui Ann menjelaskan ia adalah sumber pendapatan keluarganya sejak kira-kira 30 tahun lalu yang diusahakan bersama adik-beradik dan bapa saudaranya di Kampung Ulu Kimanis itu.
Uniknya, kilang yang menggunakan konsep terbuka itu masih menggunakan kayu api untuk membakar biji kopi dalam kawah bagi mengekalkan keenakan rasa kopi tradisi keluaran syarikat milik keluarganya.
Fui Ann berkata, setiap minggu mereka menghasilkan kira-kira 300 kilogram kopi yang sudah dibakar.
“Ia kemudiannya diproses menjadi serbuk dan dijual di tamu sekitar Papar, Kimanis, Bongawan dan Beaufort selain Kota Kinabalu.
“Keluaran kami sendiri menggunakan jenama Bintang Emas tapi ada juga kopi yang sudah siap dimasak dijual secara borong kepada pengedar kopi yang lain sebelum dibungkus menggunakan jenama mereka sendiri,” katanya.
Beliau dibantu bapa saudaranya, Patrick Wong, 70, membakar biji kopi pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis.
Bercerita lanjut, Fui Ann, berkata penghasilan kopi yang berkualiti bergantung kepada kuantiti campuran seperti garam, mentega dan gula setiap kali membakar biji kopi dalam kawah.
“Kalau tidak betul campurannya, rasa kopi jadi lain, ada yang masam tetapi kopi yang kami hasilkan ini dijamin sedap, ramai yang mencarinya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan