Khamis, 23 Januari 2020

Pilihan raya PBT bakal hakis kepentingan Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Kekalkan status quo demi kestabilan politik, keharmonian negara

BANGI – Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dicadangkan DAP boleh menyebabkan bilangan orang Melayu dalam lembaga dan jawatankuasa pengurusan bandar semakin berkurangan.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, walaupun jumlah Bumiputera dengan bukan Bumiputera di bandar hampir dapat dirapatkan, namun pilihan raya PBT tidak begitu sesuai diadakan pada masa kini.

Katanya, ini kerana penguasaan ekonomi dan pemilikan hartanah Bumiputera di bandar-bandar masih rendah.

“Pilihan raya tersebut memungkinkan polisi-polisi yang melibatkan kepentingan Bumiputera boleh terhakis.

“Jika orang Melayu sebagai bangsa pribumi dan kaum majoriti tidak menguasai pentadbiran dan pengurusan bandar, sebaliknya kaum bukan Bumiputera yang menguasainya, kita khuatir bahawa kestabilan politik dan keharmonian akan tergugat.

“Justeru, saya fikir status quo seperti yang sedia ada sekarang perlu dikekalkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pilihan raya kerajaan tempatan diamalkan di Malaysia dahulu, sebelum ia dihentikan sekitar tahun 1964.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan mengembalikan pilihan raya PBT buat masa ini kerana risau ada kebarangkalian ia akan menyemarakkan ketegangan kaum.

Namun, akhir tahun lalu, DAP mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya PBT dengan menjadikannya antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019.

Mengulas lanjut, Mazlan menegaskan, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein telah pun berjaya mengurangkan ketegangan kaum kerana keseimbangan sosio-ekonomi antara kaum dapat dirapatkan oleh kerajaan.

“Antara pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan kerajaan untuk memulihkan negara dan hubungan rakyat berbilang kaum adalah membuka bandar-bandar baru, meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan menggalakkan integrasi antara bandar dan luar bandar.

“Lebih signifikan, penghapusan pilihan raya kerajaan tempatan dengan menggantikannya dengan sistem pentadbiran baru juga telah mengurangkan ketegangan kaum, manakala monopoli satu-satu kaum tertentu juga dapat dihentikan,” katanya

Tiada ulasan: