1,000 hektar padi sedang berbuah 2,3 minggu lagi musim tuai
KEPALA BATAS
– Seramai 100 pesawah di kawasan Pinang Tunggal, Paya Keladi dan Pantai
Kamloon, di sini berdepan risiko kerugian besar apabila lebih 1,000
hektar padi yang diusahakan mereka kekurangan bekalan air.
Wakil pesawah, Saadon Ayub, 53, berkata
kawasan bendang itu tidak menerima air sejak dua minggu lepas berikutan
masalah kemarau dan rumah pam di Pinang Tunggal gagal menyalurkan air ke
dalam sawah.
“Air dalam kawasan bendang memang sudah
kering malah ada tanah yang merekah sebab tiada air, kami pesawah di
sini susah hati kerana padi sekarang ini sedang berbuah dan dalam tempoh
dua atau tiga minggu lagi sudah boleh tuai…banyak duit dah keluar untuk
tanam padi musim ini.
“Tapi kalau air tak dak dalam bendang,
padi tidak dapat membesar atau dalam kata lain akan rosak sebab tu, kami
harap sangat pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Pertanian Negeri dan
Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang dapat
membantu menyalurkan air ke dalam sawah,” katanya ketika ditemui di sini
hari ini.
Katanya air mencukupi di kawasan rumah
pam Pinang Tunggal, tapi pam tak boleh berfungsi untuk menyalirkan air
ke bendang dan pihaknya telah memaklumkan kepada agensi terlibat
mengenai masalah itu.
Seorang lagi pesawah, Mohd Suki
Jamaludin, 40, berkata beliau terpaksa membelanjakan RM1,000 untuk
membeli sendiri pam air untuk mengepam air sungai masuk ke dalam kawasan
bendang kerana masalah bekalan air namun ia tidak mencukupi.
Katanya mereka tiada pilihan lain dan
memang terpaksa membeli pam air sendiri kerana jika air tiada dalam
kawasan bendang akan menanggung kerugian yang lebih besar disebabkan
padi ketika ini sedang berbuah dan tidak lama lagi ia akan dituai.
“Pihak IADA memang ada bagi dua pam air
tapi ia tak mampu nak tampung jumlah pesawah di sini, itu (pam) hanya
dapat selesaikan masalah jangka pendek sedangkan masalah kemarau ini
setiap tahun, tapi kami percaya jika rumah pam Pinang Tunggal dapat
mengalirkan air di kawasan kami, masalah bekalan air untuk bendang dapat
diselesaikan.
“Kami harap sangat pihak berkaitan dapat
selesaikan masalah untuk membantu pesawah di sini, kami faham musim
kemarau tapi masalah bekalan air ini dapat diselesaikan dengan menaik
taraf serta memastikan pam di rumah pam tersebut berfungsi dengan baik,”
katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang melawat pesawah di situ
berkata beliau akan menulis surat kepada Kementerian Pertanian Dan
Industri Asas Tani supaya dapat mengambil tindakan segera bagi membantu
pesawah di kawasan berkenaan.
“Saya simpati dengan nasib pesawah dan
saya juga telah hubungi IADA dan Exco Kerajaan Negeri Dr. Afif Bahardin
untuk melihat masalah ini, mereka memberi jaminan akan membantu dan saya
harap bekalan air dapat masuk ke kawasan bendang secepat mungkin,”
katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan