Rabu, 1 Januari 2020

Perjuang sekolah 1 aliran, bahasa Melayu fokus 2020: iGuru

Ustaz Mohd Azizee Hasan

 

Jurang perpecahan antara kaum dapat dielak jika hormat Perlembagaan


1. MARI kita sederap selangkah berganding bahu memikul amanah mendidik anak bangsa dengan penuh komited dan serius demi melihat masa depan negara yang cemerlang.

2. Tahun- tahun mendatang, medan mendidik semakin kompleks dan mencabar terutama berdepan cabaran IR 4.0. Murid- murid perlu diasah kecerdasan AI serta didedahkan dengan dunia Internet of Thing (IoT) di samping penekanan jati diri dan pembinaan karektor yang berteraskan paksi agama dan nilai-nilai unggul budaya bangsa. Manakala para guru pula perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran, pengetahuan dan perubahan sikap untuk menyahut cabaran tersebut.

3. iGuru sebagai NGO pendidikan akan terus berjuang mempertahankan kepentingan pendidikan berlandaskan semangat Perlembagaan dan dasar pendidikan kebangsaan.

4. Antara isu utama pendidikan yang akan menjadi fokus 2020 ialah perjuangan mewujudkan satu aliran pendidikan kebangsaan, memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan semua kaum, pendidikan terbaik kepada kelompok B40 dan berusaha memartabatkan sistem pendidikan Islam serta membela sekolah-sekolah agama rakyat dan tahfiz.

5. iGuru akan terus melaksanakan pendekatan ‘engagement’ dan bersikap inklusif dengan semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan NGO bagi menjayakan hasrat murni pendidikan negara serta meningkatkan kualiti pendidikan kita bertaraf dunia.

6. iGuru menyakini bahawa sekiranya semua pihak menghormati apa yang termaktub di dalam Perlembagaan, ruang pertikaian dan jurang perpecahan dapat dihindarkan terutama hal berkaitan polemik tulisan jawi, pengiktirafan UEC dan lain-lain perkara.

7. iGuru berharap tahun 2020 adalah masa membuktikan keunggulan sistem pendidikan kita dalam kemajmukan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana kelompok tak kira desa atau bandar, merentas kaum dan budaya menepati hasrat Penyata Razak 1956.

8. Semoga pendidikan kita terus maju dan sukses berdepan apa jua rintangan dan cabaran ke arah membangun bangsa dan negara yang berdaulat.

Salam Tahun Baru 2020

*Ustaz Mohd Azizee Hasan, Presiden iGuru


Tiada ulasan: