Sabtu, 18 Januari 2020

Nasib ADUN Dengkil tertakluk jika ada perbicaraan – Tun M

Manzaidi Mohd Amin
MGF17012020_PC-TUN-PPBM08
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menunggu keputusan mahkamah sekiranya ada terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

Itu respon Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai penggantungan Adhif Syan yang juga Ketua Armada Selangor yang didakwa terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Wakil rakyat Bersatu itu kini digantung tugas berikutan positif dadah dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Puchong awal pagi Isnin lalu.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Mahathir  menjelaskan, Pakatan Harapan (PH) seperti biasa membantu calon Warisan untuk menang.

“Macam biasa (kempen) kita tak bagi duit kepada pengundi.. itu bukan cara kita. Lagipun Warisan yang bertanding, ia berbeza kedudukannya dari parti PH, dan mereka bukan ahli PH.

“Tapi kita bagi keistimewaan kepada mereka kerana mereka bersetuju bertanding di Sabah dan kita tidak akan bertanding di Sabah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM di Yayasan Al-Bukhary hari ini.

Menjawab dakwaan pembelian kereta Mercedes oleh kerajaan Pas Kelantan untuk kegunaan Menteri Besar dan anggota Exco, beliau yang juga Perdana Menteri berkata, kerajaan pusat beri duit tetapi tidak beri sebarang syarat.

“Apa dia nak buat (dengan duit itu) dia buatlah. Kalau dia buat benda tak betul, rakyat akan hukum,” katanya ringkas.

Beliau juga memberitahu mengenai tugasnya memangku jawatan Menteri Pendidikan dan telah diberi taklimat panjang oleh pihak kementerian itu termasuk kasut hitam, stokin hitam dan sebagainya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: