Jumaat, 3 Januari 2020

“Mungkin esok saya letak jawatan…” – Mohd Redzuan

MGF03012020_PAK-WAN_03
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR – “Mungkin esok saya letak jawatan, kamu pun tak tahu.”

Itu respon Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof secara berseloroh apabila ditanya tentang ura-ura akan ada lagi menteri Kabinet yang akan meletakkan jawatan selepas Dr Maszlee Malik.

Mengulas mengenai perkara itu Mohd Redzuan yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan berkata, penukaran pemimpin dalam Kabinet merupakan perkara biasa dan ia bukanlah sesuatu yang negatif.

Malah katanya, Perdana Menteri sendiri mempunyai hak untuk membuat keputusan menukar menteri-menterinya ekoran beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam kerajaan.

“Dia (Perdana Menteri) boleh buat pembubaran, buat macam-macam sebab kuasa ada kepada perdana menteri,” ujarnya yang merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah.

Ditanya desakan pembangkang supaya lebih ramai menteri dan timbalan menteri mengikut jejak Maszlee ekoran prestasi tidak memberangsangkan, Mohd Redzuan berkata, sesiapa saja bebas untuk memberikan pendapat masing-masing.

Namun katanya, pendapat yang dilontarkan itu perlu sesuatu yang lebih membina.

“Semua orang boleh beri kenyataan, kritikan, pendapat, tapi ia tidak semestinya melambangkan apa yang telah berlaku.

“Cuma perdana menteri sendiri yang tahu saya tidak tahu. Saya sendiri tidak tahu sebab kenapa YB Maszlee letak jawatan,” tambah beliau.
MGF03012020_PAK-WAN_11
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan 
Md Yusof di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. 
foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Redzuan antara menteri yang sering menerima kritikan terutamanya berkaitan projek kereta terbang.

Semalam, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam membuat kejutan apabila mengumumkan meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan, berkuat kuasa hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada pertemuan yang diadakan dua jam sebelum sidang media khas pengumuman itu berlangsung. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: