Jumaat, 10 Januari 2020

MTUC bimbang gesaan India boikot minyak sawit Malaysia

MALAYSIAKINI




Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bimbang gesaan India kepada penapis dan peniaga minyak sawit agar tidak membeli minyak sawit Malaysia boleh menjejaskan pekerja Malaysia dalam industri itu.

"Kami bimbang langkah ini membawa kepada perang dagangan tidak rasmi dan sekatan ekonomi.

"Apabila dilaksanakan ia akan memberi kesan langsung kepada pekerja Malaysia dalam industri dan semua sektor yang berkaitan.

"Selain pekerja perladangan, terdapat pekerja kilang penapisan dari semua kategori, industri pengangkutan, pemandu, kontraktor, syarikat baja dan keluarga mereka," kata Setiausaha Agung MTUC J Solomon dalam satu kenyataan.

Salomon berkata langkah India itu juga akan menjejaskan setengah juta pekerja asing India di Malaysia, terutamanya mereka yang bekerja dalam industri minyak sawit.

"Pegawai di India mengatakan bahawa pekerja asing India menghantar pulang sekurang-kurangnya sembilan puluh peratus upah mereka ke India yang berjumlah kira-kira RM2 bilion setahun," katanya.

Solomon menambah: "Sebelum apa-apa kerosakan dilakukan, kami ingin memohon kepada kedua-dua kerajaan untuk menggunakan semua saluran diplomatik yang mungkin untuk menyelesaikan isu ini serta mengenepikan sebarang ego peribadi atau diplomatik.

"Sila ingat bahawa pekerja adalah golongan yang akan terjejas paling teruk."

Semalam, Reuters memetik pemain industri sebagai berkata bahawa India telah secara tidak rasmi meminta penapis dan peniaga minyak sawit untuk mengelakkan membeli minyak sawit Malaysia.

Ia susulan kritikan Malaysia terhadap tindakan India di rantau Kashmir dan undang-undang kerakyatan yang baru negara itu.

"Dalam mesyuarat Isnin, kami telah diberitahu secara lisan untuk mengelakkan membeli minyak sawit Malaysia.

"Kami telah mengadakan pelbagai mesyuarat dalam kerajaan dan industri untuk melihat bagaimana kami dapat mengurangkan import dari Malaysia," kata seorang pegawai kerajaan India.

Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Dr Mahathi Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik balik komen yang dibuatnya mengenai pendekatan India terhadap konflik rantau Kashmir dan Jammu walaupun wujud ancaman memboikot minyak kelapa sawit Malaysia.

"Kami katakan apa yang kami fikirkan dan kami tidak menarik balik dan mengubah fikiran," kata Mahathir.


Tiada ulasan: