Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Tugas utama kerajaan untuk bantu rakyat tunaikan rukun Islam kelima
BANGI
– Pengumuman kenaikan kuota haji oleh Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini
bukan satu perkara yang pelik, sebaliknya selari dengan pertambahan
bilangan penduduk, kata Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.
Justeru kata beliau, tidak ada satu
perkara yang perlu dibanggakan sebagai pencapaian jika kuota ditambah
kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah pada tahun lalu.
Haji Aminuddin yang juga Pengerusi
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, isu paling
penting adalah tindakan kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH)
menunaikan tanggungjawab sosial kepada rakyat bagi memudahkan urusan
mereka untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
“Konsep istito’ah yang diwar-warkan
adalah satu yang difahami sejak dahulu lagi. Sesiapa yang tidak mampu,
tidak wajib menunaikan ibadah haji.
“Namun, kita harap konsep ini tidak
menjadi alasan kerajaan untuk tidak membantu rakyat,” katanya ketika
dihubungi Ismaweb hari ini.
Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, penambahan kuota
seramai 1,400 orang adalah hasil rundingan Kerajaan Malaysia, khususnya
melalui TH, dengan Kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata, rundingan itu bertujuan
mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota terbabit seiring peningkatan
populasi penduduk negara ini.
“Kita diberi kuota 30,200 jemaah
berpandukan 0.01 peratus penduduk yang diambil daripada populasi tidak
dikemas kini (iaitu 30 juta). Namun mengikut versi Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017, penduduk Malaysia sudah meningkat
kepada 31,600,000.
“… kerana keputusan OIC (Pertubuhan
Kerjasama Islam) yang menyatakan setiap negara mendapat (kuota haji)
0.01 peratus daripada populasi penduduk, maka kita memaklumkan
peningkatan mengikut statistik (PBB) terbaru itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan