KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mendesak kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk segera menghalang kemasukan pelancong China khususnya dari Wuhan bagi membendung penularan wabak koronavirus.
Kerajaan seharusnya lebih prihatin dan mementingkan nyawa rakyat Malaysia memandangkan rekod telah menunjukkan ada nyawa melayang kerana virus ini.
“Di kala negara-negara jiran telahpun mengambil tindakan menghalang pelancong China memasuki negara mereka, Malaysia pula seolah-olah membuka pintu seluas-luasnya kepada pelancong China.
“Harus diingat ini bukan isu kecil dan ia adalah isu yang membabitkan nyawa manusia. Sepatutnya kerajaan bersikap tegas dengan mengambil tindakan menutup pintu kepada pelancong China,” katanya.
Menurut beliau lagi, sungguhpun kerajaan telah mengambil langkah membuat pemeriksaan di pintu masuk negara tetapi sejauh mana langkah ini berkesan dan adakah ia mampu membendung penularan wabak ini.
“Jika cara ini berkesan sudah pasti negara lain yang terlibat dengan penularan koronavirus ini akan menggunakan cara yang sama tetapi ia jelas menunjukkan negara jiran lebih efisien dalam menjaga keselamatan nyawa rakyat mereka,” tegasnya.
Noraini turut menempelak PH dengan berkata, sekiranya kerajaan masih ditunjangi oleh Barisan Nasional dan mengambil tindakan yang sama seperti sekarang ini, sudah pasti PH sebagai pembangkang akan ‘melanyak’ BN semahu-mahunya.
“Jadi, PH perlu berfikir sebagai kerajaan dengan mendahulukan kepentingan rakyat, bukannya pelancong luar… ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan