Jumaat, 31 Januari 2020

Laksana semula PPSMI gelapkan masa depan anak bangsa




BANGI – Keputusan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disifatkan sebagai satu perkara malang, mengecewakan dan akan menggelapkan masa depan dunia pendidikan anak bangsa negara.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa yang kecewa dengan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PPSMI telah pun berlalu pada 2002-2010, dan telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada kemerosotan kepada para pelajar.

“Kajian yang dibuat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di Sekolah Kebangsaan dan di Sekolah Menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zai yang juga Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan, pihaknya menyokong Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dan juga pemangku Menteri Pendidikan bukan untuk mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, pihaknya bertegas mendesak Tun M membatalkan hasrat tersebut atau kerajaan akan berhadapan semula dengan gelombang himpunan rakyat menolak PPSMI yang telah pun berlaku sebelum ini.

“UMMAH bertekad akan mengerakkan rakyat berhimpun sekali lagi bagi menentang program PPSMI, dan ini akan mengakibatkan Tun akan kehilangan jawatan sebagai PM,” katanya.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Perdana Menteri berkata, penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan perlu terus digalakkan terutama dalam pembelajaran Sains dan Matematik.


Tiada ulasan: