Jumaat, 24 Januari 2020

Kadir salahkan penyebaran virus pada tabiat makan China

Pihak berkuasa China mengenal pasti sebuah pasar di Wuhan 
sebagai punca koronavirus. (Gambar AP)
 
PETALING JAYA: Penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri, A Kadir Jasin membidas China atas penyebaran koronavirus yang bermula di Wuhan, mengatakan tabiat makan negara itu “boleh jadi pemula kepada penamat umat manusia”.

Pegawai kerajaan China mengenalpasti sebuah pasar di Wuhan – bandar dengan 11 juta penduduk, yang kini dikuarantin – sebagai pusat virus yang setakat ini sudah meragut 25 nyawa mangsanya di China dan sudah merebak ke negara seperti Singapura dan Vietnam.

Selain menawarkan pelbagai jenis haiwan liar eksotik, daripada buaya hingga ke anak serigala, Wuhan Huanan Wholesale Seafood Market yang sudah ditutup itu juga menjual spesis yang dikaitkan dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Kadir Jasin.
“Nafsu makan China terhadap daging liar punca banyak penyakit bawaan haiwan baru-baru ini,” kata Kadir di Facebook.
“Tahun tikus menyaksikan China mengeksport flu koronavirus.

“Tabiat China memakan mengikut nafsu boleh jadi pemula kepada penamat umat manusia,” kata wartawan veteran itu, dan menambah China mesti bertanggungjawab.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengadakan mesyuarat tergempar semalam, mengumumkan koronavrisu itu suatu “kecemasan di China”.

Thailand mengesahkan 4 kes virus itu, Vietnam melaporkan 2 kes manakala Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, dan Singapura masing-masing melaporkan 1 kes.

Wisma Putra semalam menasihatkan rakyat supaya menunda semua perjalanan tidak penting ke Wuhan dan kawasan-kawasan lain yang mungkin terjejas dengan koronavirus.

Tiada ulasan: