Rabu, 29 Januari 2020

Polis dihadap ke mahkamah, media diminta keluar kerana ‘isu sensitif’

M FAKHRULL HALIM




Susulan aduan yang dibuat oleh seorang lelaki tentang pemalsuan dokumen dalam kes dadah melibatkan dirinya, seorang pegawai polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, sebelum pertuduhan dibacakan ke atas polis terbabit, timbalan pendakwa raya Nur Shazwanie memohon mahkamah agar pihak-pihak tidak berkaitan diminta keluar dari mahkamah.

Katanya, ia memandangkan kes tersebut yang disifatkannya sebagai "sensitif".

Justeru, Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli meminta semua pihak yang "tidak berkaitan" untuk keluar dari mahkamah kira-kira jam 12.20 tengah hari, termasuk pengadu dan petugas media.
Difahamkan, pertuduhan ke atas polis itu dibuat di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, pertuduhan yang sepatutnya dilakukan di Mahkamah Majistret 2 dipindahkan ke Mahkamah Majistret 3 bangunan yang sama.
Terdahulu pagi tadi, pengadu, Romzi Mamat menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret 2, di mana peguamnya, Mohd Taqiyuddin Yahya menyerahkan hujahan akhir bertulis kepada mahkamah.
Dia dituduh bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah.

Menurut Romzi, dia mendapati beberapa bahan bukti hilang dan ada yang dipalsukan daripada ikatan dokumen yang diterima pihak pembelaan.

Hal itu menyebabkan dia membuat dua laporan polis atas nasihat peguamnya.

Berdasarkan laporan polis pertama dibuat Romzi (Februari) yang dilihat Malaysiakini, dia mendakwa beberapa dokumen mengandungi tandatangannya yang palsu pada beberapa dokumen termasuklah borang perakuan serahan air kencing.

Ia disedari ketika pihak pembelaan menerima ikatan dokumen semasa sebutan kesnya pada 20 Februari 2018, menyebabkannya membuat laporan polis pada hari sama.

Dalam laporan polis berasingan yang dibuat 15 Mei 2018 pula, Romzi mendakwa dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat di ibu pejabat daerah (IPD) Shah Alam pada April bahawa siasatan tidak dapat dilengkapkan sepenuhnya memandangkan dokumen borang perakuan serahan air kencing itu tidak diserahkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sungai Buloh.

Katanya, dia membuat laporan polis setelah salinan asal dokumen berkenaan didapati "dicuri" dari kertas siasatan kesnya, sedangkan dokumen itu katanya, merupakan "bahan bukti yang penting" dalam pembelaan kesnya.

Pada 14 Januari lalu, Malaysiakini melaporkan penduduk Kampung Sungai Buloh membuat laporan SPRM terhadap polis di kawasan itu yang didakwa menahan anak muda dan memeras ugut keluarga mereka.

Dakwa penduduk itu, sekumpulan polis Jabatan Narkotik IPD Sungai Buloh - yang digelar penduduk kampung sebagai “narko Subang”- menjalankan pemerasan itu sejak tahun lalu.

Polis terbabit dikatakan meronda pada tengah malam dan menangkap kumpulan anak muda yang melepak, sebelum dibawa ke rumah masing-masing untuk dilakukan penggeledahan bagi mencari dadah.

Apabila mencari sampai 20 hingga 30 minit tidak jumpa, akan ada seorang anggota yang tiba-tiba masuk dan buat-buat mencari.

“Selepas itu, dia akan tunjukkan satu paket barang dipercayai dadah dan yakinkan keluarga itu kepunyaan anak-anak mereka,” kata penduduk itu yang enggan identitinya didedahkan.

Tambahnya, ada yang dipaksa membayar sehingga RM27,000 bagi membebaskan anak mereka dari didakwa ke mahkamah.

Kegiatan itu turut diakui Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar yang berkata tujuh polis ditangkap susulan isu sama Disember lalu.


Tiada ulasan: