Rabu, 29 Januari 2020

Pencalonan 3 pemimpin Bersatu Pasir Mas dibantah

N FAIZAL GHAZALI




Sekumpulan anggota Bersatu bahagian Pasir Mas, Kelantan, mendesak jawatankuasa pemilihan parti itu mengambil tindakan tegas terhadap tiga calon pimpinan yang didakwa melanggar etika pemilihan, termasuk memboikot calon PH pada PRU14 lalu.

Jurucakap mereka, Suzainal Adnan Sukri, mendakwa tiga individu tersebut ialah calon ketua bahagian, Anuwar Hamzah, serta calon timbalan ketua bahagian, Nur Zabar Kamar Nordin dan Mat Samsudin Samat.

Katanya, ketiga-tiga calon itu melanggar etika dengan melakukan provokasi serta memboikot parti ketika kempen semasa PRU yang diadakan pada 2018.

"Ketika itu, Anuwar dan Nur Zabar mahu menjadi calon dewan undangan negeri (Dun) Tendong, tetapi keputusan PH tidak berpihak kepada mereka.

"Pada 30 April 2018 mereka bertiga berpakat menjatuhkan calon PH Dun Tendong iaitu Dr Wan Zulkhairi Wan Md Zain selain mengingkari arahan badan pimpinan Bersatu Kelantan.

"Mereka juga membuat sidang media selain turut menularkan berita penutupan bilik gerakan PH Tendong," katanya.

Suzainal juga mendakwa tiga calon terbabit tidak memberi kerjasama kepada calon PH yang ketika itu dipilih sebulat suara oleh badan kepimpinan negeri sewaktu berkempen.

Tak boleh terima

Dia berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Bersatu di Bunut Susu, Pasir Mas, semalam.

Untuk rekod Malaysiakini pernah menyiarkan laporan berkaitan isu penutupan bilik operasi PH di Tendong sebelum PRU14 lalu.

Tindakan itu dibuat sebagai protes terhadap calon Wan Zulkhairi yang didakwa bukan anak tempatan.
Sementara itu Suzainal berkata, pihaknya juga sudah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini bagi membantah pencalonan ketiga-tiga individu tersebut, namun tiada sebarang jawapan yang diterima setakat ini.
Suzainal (dua dari kiri) semasa mengadakan sidang media semalam.
"Tindakan sewajarnya harus diambil kepada mereka dan kami mendesak jawatankuasa pemilihan parti menarik balik pencalonan mereka.

"Ketika PRU14 mereka boikot PH, sekarang nak jadi pemimpin. Kami tak boleh terima pihak yang ada agenda peribadi begini," katanya.

Tambahnya, mereka berharap bantahan itu didengar demi kebaikan masa depan Bersatu.

"Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi Bersatu, jadi jika ada sesiapa menjatuhkan parti dan menjadi duri dalam daging perlu ditentang sekeras-kerasnya," kata Suzainal.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada tiga calon terbabit.


Tiada ulasan: