Jumaat, 31 Januari 2020

'Bagaimana Radzi menang tanpa bertanding walau ada pencabar?'

M FAIZAL GHAZALI




Calon ketua bahagian Bersatu Ketereh, Uzair Yusof mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Bersatu yang mengisytiharkan penyandang ketua bahagian itu, Dr Mohd Radzi Jidin menang tanpa bertanding.

Katanya, tanpa sebarang penjelasan lanjut jawatankuasa pemilihan juga seolah-olah mengabaikan pencalonan yang dikemukakannya pada 26 Januari lalu.

"Saya terkejut dengan pengumuman itu dan kita minta agar pihak bertanggungjawab mengemukakan alasan dan penjelasan lanjut.

"Ketika mengemukakan pencalonan saya yakin sudah memenuhi syarat yang dikehendaki dan tidak melanggar sebarang peraturan parti. Saya juga tidak menerima sebarang maklumat mengenai status pencalonannya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebagai rekod Uzair sebelum ini merupakan timbalan ketua bahagian Bersatu Ketereh dan membuat pencalonan untuk bertanding bagi jawatan ketua bahagian itu.

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar mengesahkan majoriti pemimpin tertinggi parti itu menang tanpa bertanding pada pemilihan kali pertamanya termasuk Radzi yang juga ketua penerangan Bersatu.

Bagaimanapun Syed Hamid tidak menjelaskan secara lanjut mengenai kemenangan Radzi sedangkan pencalonannya dicabar.

Justeru katanya, mana-mana pihak juga dibenarkan membuat bantahan kepada jawatankuasa pemilihan berkuat kuasa sehingga 14 Februari ini sekiranya ada isu berbangkit.

Bersatu akan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan kepimpinan tertinggi parti ‪pada 20 Jun‬ depan, manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Februari hingga ‪1 Mac‬, diikuti peringkat bahagian ‪pada 4 April‬.

Sementara itu Mohd Uzair berkata, pihaknya juga akan mengemukakan bantahan dan berharap Jawatankuasa Pemilihan Bersatu mampu bersikap adil demi keutuhan parti.

"Saya berharap pihak jawatankuasa pemilihan dapat memberi penjelasan munasabah dan saya juga akan kemukakan bantahan atas keputusan itu," tegasnya.


Tiada ulasan: