Khamis, 30 Januari 2020

Lupakan 'happy ending', buat kerja kamu, kata peguam Indira

MALAYSIAKINI




Firma guaman yang mewakili M Indira Gandhi menolak kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berhubung kes mencari anak perempuannya yang hilang.

Mengambil maklum kenyataan Abdul Hamid bahawa dirinya berharap akan ada "kesudahan dengan baik dan gembira" atau “happy ending” dalam kes itu, Raj & Sach berhujah bahawa tidak ada keperluan demikian susulan perintah Mahkamah Persekutuan.

"Tidak ada keperluan untuk senario menang-menang apabila ada perintah dari Mahkamah Persekutuan untuk IGP dan polis supaya menangkap (bekas suami Indira) K Pathmanathan (Muhammad Ridhuan Abdullah) dan mengembalikan Prasana Diksa ke Indira.

"Kenyataan IGP bahawa dia sedang mencari situasi menang-menang mengganggu fikiran. IGP tidak perlu mencari apa-apa. IGP tidak perlu membuat mana-mana pihak gembira,” kata firma itu.
 
Menurutnya, bukan tugas IGP memberi jawapan atau alasan sebaliknya, tugas beliau adalah mematuhi penghakiman Mahkamah Persekutuan.

“IGP gagal melaksanakan perintah Mahkamah Persekutuan," kata firma itu dalam kenyataan petang ini.
Pathmanathan melarikan Prasana pada tahun 2009 apabila anaknya itu berusia 11 bulan, selepas dia memeluk Islam dan menukar nama menjadi Muhammad Ridhuan Abdullah.

Mahkamah Persekutuan kemudian memerintahkan pihak polis untuk menjejaki bekas suami Indira, yang lokasinya masih tidak diketahui.

Berikutan itu, polis menubuhkan sebuah pasukan petugas khas.

Sementara itu, Raj & Sach berkata kenyataan Hamid menimbulkan persoalan sama ada ketua polis negara itu mengetahui tentang Prasana dan lokasi ayahnya.

"Ini menimbulkan persoalan dalam minda berjuta-juta rakyat Malaysia - apakah IGP sebenarnya tahu di mana Pathmanathan (Muhammad Ridhuan)? Adakah IGP tahu di mana Prasana?

"Apakah yang dimaksudkan oleh IGP dengan situasi menang-menang? Kami tidak mempunyai jawapan kepada soalan ini," tambahnya.

Selasa lalu, Hamid mengulangi kenyataan bahawa dirinya mengambil kepentingan peribadi dalam kes itu dan berharap ia akan "berkesudahan dengan baik dan gembira".

"Saya boleh beri jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa saya mengambil kepentingan peribadi dalam perkara ini. Saya mahu happy ending (kesudahan yang baik) untuk episod ini.

"Kes ini amat sedih dan menyentuh hati rakyat Malaysia. Kita bercakap tentang seorang ibu (yang terpisah) dengan anaknya.

"Saya telah arahkan polis untuk melipatgandakan usaha mereka. Polis sedang mencari, tetapi saya tidak boleh mendedahkannya," kata Hamid.


Tiada ulasan: