Jumaat, 31 Januari 2020

Coronavirus: Kerani bank ditahan sebar berita palsu

tyrazalhe

 

SKMM, PDRM rampas telefon bimbit dan kad sim digunakan suspek

BANGI – Seorang lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak novel coronavirus (2019-nCoV) ditahan, hari ini bagi membantu siasatan.

Individu merupakan seorang wanita berusia 28 tahun itu ditahan dalam operasi serbuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang berterusan buat hari ketiga.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata, suspek yang juga kerani bank itu ditahan di Kuantan, Pahang pada jam 4 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di laman Facebook pada 27 Januari lalu.

“Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut di laman Facebook.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya.

Sejak 28 Januari lalu, SKMM dan PDRM telah menahan enam suspek yang dipercayai menyebarkan kandungan palsu mengenai novel coronavirus.

Tindakan itu akan berterusan untuk memastikan penularan berita palsu dapat dikawal dan seterusnya menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.


Tiada ulasan: