Khamis, 30 Januari 2020

Minta isteri berhenti kerja, Abam bayar 'gaji' bulan

NADIA AZAM




Pelakon dan pelawak Abam Bocey sanggup menggantikan pendapatan isterinya, Nor Hidayah Mohd Ali setiap bulan selepas meminta wanita itu meninggalkan kerjayanya demi menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kata Abam, dia juga sanggup membayar sejumlah wang untuk nafkah isteri kerana tidak mahu menghantar anaknya Syed Uthman Hamzah yang kini berusia 8 bulan ke mana-mana rumah pengasuh.

"Nafkah lain. Gaji lain. Dia nak beli apa dengan wang tersebut terpulanglah.

"Jika saya yang minta dia berhenti daripada kerjayanya sebagai akauntan, maka kena ganti balik seperti gaji dia pernah perolehi setiap bulan seperti sebelum ni.

"Memang isteri tak ada minta-minta, tapi saya beri kerana ingin dia beri tumpuan sepenuhnya pada anak kami yang sedang membesar," katanya.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan ditemui pada majlis pengumuman pementasan teater terbaru lakonannya Korupsi Dewan Semandung di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Untuk rekod, Abam mendirikan rumah tangga dengan Nor Hidayah, pada 8 Disember 2017.

Mengulas lanjut, Abam, 32, berkata, punca kebimbangannya untuk tidak menghantar anaknya ke rumah pengasuh adalah bagi mengelak anaknya dipengaruhi budaya negatif.

Katanya, dia lebih selesa sekiranya anaknya itu mendapat didikan awal bermula di rumah sendiri.
"Dah ramai-ramai tu kita tak tahu batas pergaulan nanti macam mana.

"Saya tak nak jadi seperti budak-budak lain yang berusia 3 atau 4 tahun bila balik rumah tiba-tiba cakap kurang ajar dengan mak ayah," katanya.


Tiada ulasan: