Jumaat, 31 Januari 2020

Kimanis kesilapan pertama Ilham Centre sejak 12 tahun

Nizam Zain
MGF30012020_DISKUSI-PASCA-PRK-KIMANIS10
Dr. Hamidin Abdul Hamid bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis : Fakta dan Pengajaran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Ramalan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis merupakan kesilapan pertama yang dilakukan badan pemikir Ilham Centre sejak hampir 12 tahun membuat kaji selidik mengenai pilihan raya.

Perkara diakui sendiri oleh Felonya, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid sambil menyifatkan kesilapan itu memberi banyak kebaikan kepada badan pemikir itu untuk lebih berhati-hati membuat kaji selidik pada masa akan datang.

“Ini adalah kali pertama buat kesilapan selepas hampir 12 tahun dalam kaji selidik dan hampir 36 kaji selidik dalam survey mengenai pilihan raya sebagai pengamal kaji selidik.

“Saya tahu ada orang senyum, ada juga ketawa, kita banyak belajar, saya fikir ia sesuatu yang baik datang daripada Kimanis dan betapa uniknya landskap di Sabah sehingga ke satu peringkat,” katanya dalam Diskusi Pasca PRK Kimanis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Pada 16 Januari lalu, iaitu dua hari sebelum hari pembuangan undi, Ilham Centre mengeluarkan dapatan kaji selidiknya mendapati, calon Warisan, Datuk Karim Bujang menang selesa dalam PRK Parlimen Kimanis.

Hasil kajian badan pemikir itu mendapati Karim selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Bongawan selama lima penggal mempunyai kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Menurut ketua penyelidiknya, Dr Muhd Yusri Ibrahim, hasil dapatan itu berdasarkan kajian yang dibuat membabitkan 491 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di Parlimen Kimanis.

Dalam pada itu, Hamidin juga mengakui bahawa pihaknya terlepas pandang terhadap kesan besar yang dibawa dalam isu Pas Sementara Sabah (PSS) dan ia disedari selepas laporan ramalan PRK Kimanis itu didedahkan kepada pengetahuan umum.

“Berdasarkan dapatan kami, pada asasnya kami sedar ia lebih besar kepada isu tempatan. Dalam ramalan kami kita letakkan PSS sebagai snow ball effect, kita sedari. Bukannya isu utama, tapi ia sesuatu yang kerap kali digunakan dalam berkempen,” katanya.

Selepas laporan itu dikeluarkan, Ilham Centre turut menyedari bahawa Warisan meletakkan keyakinan terlalu tinggi untuk merampas kubu kuat BN itu hanya kerana Warisan merupakan parti pemeritnah di Sabah.

“Kami dapat rasa Warisan terlalu yakin dengan kelebihan sebagai Kerajaan Negeri Sabah dan jentera berkempen lebih sempurna berbanding parti pembangkang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: